sihat

'Penat' jejas hidup

Oleh Nurul Husna Mahmud

MESKIPUN sudah mendapat rehat dan tidur mencukupi, namun badan masih terasa keletihan dan kelesuan melampau.

Malah, gejala kelesuan dan keletihan dialami juga berlaku dalam tempoh masa panjang dan konsisten.

Keadaan ini menandakan individu terbabit mengalami sindrom kelesuan kronik atau chronic fatigue syndrom (CFS).

CFS dalam istilah lain turut dikenali sebagai ensefalimielitis malgik (ME) yang mana penghidapnya mengalami keletihan melampau yang berlangsung sekurang-kurangnya enam bulan.

Gejala bertambah teruk dengan aktiviti fizikal atau mental, tetapi tidak bertambah baik sepenuhnya dengan rehat.

Punca CFS yang jelas tidak diketahui sehingga hari ini walaupun terdapat banyak teori.

Secara tidak langsung, keadaan ini menjadi cabaran bukan sahaja kepada pesakit, malah pengamal perubatan dalam merawat pesakit CFS.

Menurut Ketua Jabatan dan Ahli Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan IMU University, Dr Serena In, tiada ujian atau saringan khas berkait penyakit terbabit menyebabkan penghidap itu tidak mendapat diagnosis tepat mengenai penyakit mereka.

"Penyakit atau gejala CFS masih diselubungi misteri kerana tiada ujian atau gejala tertentu untuk mengenal pasti secara muktamad.

"Justeru, program kesedaran mengenai keadaan CFS perlu diberi penekanan agar sindrom ensefalomielitis mialgik mendapat perhatian orang ramai," katanya.

Kata Dr Serena, ketika ini pakar membuat andaian CSF tidak tertumpu kepada satu faktor sahaja, ia didorong kombinasi beberapa faktor lain.

"CFS kadang kala boleh berlaku selepas jangkitan virus seperti Covid-19, walaupun tidak dikaitkan dengan sebarang jangkitan tertentu.

"Faktor lain berkaitan dan ia tidak semestinya bersifat penyebab atau punca langsung kepada penyakit CFS.

"Antara faktor lain ialah penyakit keradangan seperti arthritis, keadaan psikologi seperti kemurungan dan perubahan hormon seperti menopaus," katanya.

Tambah Dr Serena, lebih mencabar dalam mencari solusi merawat atau menangani penyakit CFS ini ialah kekurangan data mengenai CFS di Malaysia.

"CFS bukan penyakit baharu, tetapi kerana tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat yang rendah menyebabkan ramai tidak tahu mereka menghadapinya.

"Disebabkan itu, tidak ramai tahu kaedah untuk mendapatkan rawatan. Ini menyebabkan CFS kurang dilaporkan dan kurang difahami," katanya.

Pakar itu turut berkongsi gejala berdasarkan rekod atau maklum balas pesakit yang mengalami CFS.

"Gejala boleh datang dan pergi serta sangat berbeza kepada setiap individu.

"Namun kebanyakan pesakit CFS ada persamaan gejala terbabit. Antaranya kelesuan yang tidak berkurangan atau hilang selepas berehat atau tidur.

"Keadaan CFS juga membuatkan penghidapnya sukar memberi tumpuan selain rasa lemah otot," katanya

Gejala lain penghidap CFS juga sensitif melampau terhadap bau-bauan, bahan kimia, cahaya atau bunyi-bunyian.

Selain itu mereka mengalami masalah penghadaman seperti sindrom usus merengsa dan kesakitan sendi serta otot tanpa tekanan berat.

Kata Dr Serena lagi, tiada rawatan atau penawar khusus bagi menangani CFS berbanding kombinasi pelbagai kaedah.

"Dalam menangani pesakit CFS, pelbagai pendekatan digunakan mengikut keperluan pesakit.

"Namun pengurusan kesakitan boleh memainkan peranan penting untuk melegakan gejala CFS. Untuk hasil lebih baik pesakit perlu menyesuaikan gaya hidup.

"Mereka juga perlu bertemu pakar psikologi klinikal atau kaunselor untuk mendapatkan sokongan akibat perubahan besar berlaku dalam hidup mereka akibat penyakit itu," katanya.

Disiarkan pada: June 23, 2024 @ 6:30am
d