arena

Danish sanjung jasa Bernhardt

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pemain pertahanan, Danish Haziq Saipul Hisham yang bakal beraksi dengan Perak pada musim ini, memberikan penghargaan kepada ketua jurulatih UiTM FC, Frank Bernhardt kerana membantu meningkatkan prestasinya.

Jelas pemain berusia 24 tahun itu, Bernhardt memberikan peluang dan ruang kepadanya untuk kembali mendapatkan lebih minit permainan selepas melalui tempoh tidak menentu di Negeri Sembilan sepanjang empat musim.

Dia mengakui keputusan berhijrah ke UiTM FC pada musim lalu di Liga Super membuka lembaran baharu dalam karier sehingga Perak berminat mendapatkan khidmatnya pada musim ini.

"Penghijrahan ke UiTM FC menjadi titik tolak perubahan kepada karier saya, kalau masih di Negeri Sembilan mungkin saya belum capai tahap ini dan ini mungkin rezeki pada musim lalu apabila aksi saya dapat memikat pasukan lain.

"Saya mahu ucapkan terima kasih kerana Bernhardt kerana sudi beri peluang untuk bersama pasukan kerana pada awalnya pengurusan UiTM mahukan pelajar saja di dalam pasukan. "Namun, Bernhardt mahukan saya dan apabila masuk, saya diberi peluang untuk sambung belajar oleh pengurusan dan dia bagi peluang untuk saya bermain, daripada situ saya buktikan apa kebolehan saya," katanya.

Danish yang boleh bermain di semua posisi di bahagian pertahanan, pernah menjadi ketua pasukan bawah 19 tahun negara ketika di bawah kendalian Bernhardt.

Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 11:33pm
d