arena

KUFC bangkit benam PDRM

Oleh Nor Amalina Alias

Kota Bharu: Kelantan United Fan Club (KUFC) mengutip tiga mata berharga selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 pada aksi Liga Perdana, petang tadi.

Pemain muda, Mohamad Amirul Shafik Che Soh meledak gol pembukaan seawal minit ke-2 menerusi rembatan jarak dekat dalam kotak penalti.

Pelawat yang tersentak dengan jaringan itu kembali garang dan tiga minit kemudian Muhammad Amirul Wa'ie Ya'acon hampir menyamakan kedudukan namun percubaannya berjaya ditepis penjaga gol KUFC, Mohammad Fikri Che Soh dan keputusan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, kedua-dua pasukan menampilkan aksi lebih menarik menerusi gerakan berbahaya tetapi ketumpulan tindakan penyudah menjadi penghalang. Ini termasuk sepakan penalti penyerang import PDRM, Lazarus Kaimbi yang sekadar terkena tiang KUFC.

Pada minit ke 70, KUFC menambah jaringan menerusi rembatan kencang Shuhei Fukai. Kedudukan 2-0 kekal hingga tamat perlawanan untuk kemenangan pertama KUFC selepas tewas 0-2 kepada Sarawak United, Ahad lalu.

Disiarkan pada: March 10, 2021 @ 9:26pm
d