utama

Lagi bayi maut tersedak susu

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

LULUH hati seorang ibu apabila mendapati bayinya sudah tidak bernyawa dipercayai akibat tersedak susu sebaik bangun daripada tidur di rumahnya di Taman Nusari Bayu 1, Sendayan, Seremban, semalam.

Sumber polis berkata, wanita berusia 20-an berkenaan menyedari bayi lelaki berusia sebulan itu tidak bernafas dengan mukanya menjadi kebiruan di atas katil pada 6.15 pagi.

Katanya, terdahulu, wanita berkenaan menyusukan anaknya dalam posisi mengiring sebelum tertidur, 12.15 tengah malam.

"Apabila terjaga daripada tidur pada 6.15 pagi, wanita itu cuba mengejutkan bayinya namun, dia tidak bergerak dan pemeriksaan kemudian mendapati dia tidak bernafas.

"Dia dan suaminya yang berusia 29 tahun segera membawa anak mereka ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), di sini," katanya di sini, hari ini.

Kata sumber itu, pemeriksaan dilakukan pakar perubatan HTJ mengesahkan bayi itu sudah meninggal dunia.

"Pemeriksaan pada tubuh bayi tidak menunjukkan sebarang unsur jenayah. Bapanya memaklumkan, anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mempunyai sebarang penyakit," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: July 31, 2018 @ 9:11am
d