utama

'Allah uji saya sekali lagi' - Nora

Oleh Syanty Octavia Amry

“ALLAH uji saya sekali lagi. Saya nak beritahu anak saya, Alif Johan baru saja menghembuskan nafas terakhir pagi tadi di rumah saya,” kata penyanyi Nora mengenai kematian mengejut anak keduanya, Muhammad Syakir Alif Johan, 20, pagi tadi.

Nora berkata demikian menerusi video di Instagram miliknya.

“Harap dapat kebumikan dia secepat mungkin hari ini. Mohon maafkan semua kesalahannya. Saya diuji lagi Allah, saya reda Allah," katanya yang sebelum ini kehilangan suami yang juga komposer terkenal, Johan Nawawi yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017.

Difahamkan Nora menerima berita sedih itu ketika baru tiba di Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan rakannya. Dia kemudian bergegas mengambil penerbangan balik ke Kuala Lumpur.

Jenazah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Terdahulu, berita pemergian Muhammad Syakir disahkan pembantu peribadi Nora, Jaja.

Jaja ketika dihubungi berkata, Nora mendapat panggilan daripada pembantu rumahnya memberitahu perkara itu ketika sedang berada di Singapura.

Katanya, pembantu rumah memaklumkan arwah tiba-tiba tidak sedarkan diri dan dia segera hubungi ambulans.

Muhammad Syakir juga berbakat dalam bidang nyanyian pernah menyertai program Mentor Milenia 2019 namun tidak berjaya ke pusingan akhir.

Anak Nora meninggal dunia

Disiarkan pada: December 14, 2019 @ 3:26pm
d