utama

Semoga Noah Ulhaq cepat sembuh

Oleh Mohd Amin Jalil

“SAYA lega dan bersyukur kerana proses rawatan awal Adam (Noah Ulhaq) di Bangkok, Thailand, berjalan lancar seperti dirancang,” kata Mohd Nor Hafiz Md Shari.

Mohd Nor Hafiz, 35, memaklumkan berhubung perkembangan anaknya, Noah Ulhaq atau mesra dipanggil Adam, dua tahun, yang menghidap penyakit tulang kaki bengkok.

Noah turut menghidap lima komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz dari Taman Nusa Intan, Senawang, Seremban, berkata dia bersama isteri dan Noah Ulhaq kini berada di Hospital Antarabangsa Bumrungrad Bangkok, Thailand sejak Ahad lalu.

“Pada peringkat awal rawatan bermula semalam (Selasa), doktor melakukan proses menyimen pada kedua-dua kaki anak saya bagi tujuan meluruskan tulang kaki bengkok.

“Doktor memaklumkan Adam akan melalui proses itu beberapa kali bergantung kepada kesesuaian dan keberkesanannya, sekali gus mungkin akan mengambil masa lama sebelum proses pembedahan kaki dijalankan.

“Saya tidak dapat pastikan berapa lama tempoh proses rawatan berkenaan, namun rasa lega dan bersyukur kerana usaha membawa Adam ke sini untuk mendapatkan rawatan terbaik berjalan dengan baik," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Nor Hafiz yang menjual air di Dataran Senawang, mengharapkan anaknya itu yang menghidap penyakit berkenaan sejak lahir, dapat pulih dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, beliau mengakui perlu berusaha mendapatkan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan dianggarkan lebih daripada anggaran asal.

Menurutnya, pada peringkat awalnya anggaran kos rawatan termasuk perjalanan dan penginapan berjumlah sekitar RM33,000, namun selepas meneliti semula termasuk proses rawatan akan dilalui Noah Ulhaq, kos sebenar diperlukan lebih daripada itu.

“Faktor pertambahan kos itu turut mengambil kira kadar pertukaran wang asing antara Ringgit Malaysia dengan Baht Thailand.

“Saya perlu mendapatkan dana tambahan kira-kira RM19,000 lagi untuk memastikan proses rawatan anak tidak tergendala, sebaliknya dapat berjalan lancar sehingga selesai," katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan kesukaran keluarga berkenaan untuk mendapatkan dana bagi rawatan anaknya itu sebelum orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu meringankan beban mereka.

Berita berkaitan

'Terima kasih atas jasa kalian'

'Ihsan buat Noah'

'Adam hidap noonan'

'Tidak akan mengalah demi Adam'

'Gembira berganti duka'

'Doakan Noah Ulhaq'

Disiarkan pada: January 8, 2020 @ 3:40pm
d