utama

Liek Hou hadiahkan pingat emas kedua [METROTV]

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou jelas berada di kelas tersendiri apabila berjaya menghadiahkan pingat emas kedua negara di Paralimpik Tokyo selepas melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia, Dheva Anrimusthi.

Perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Kebangsaan Yoyogi sebentar tadi menyaksikan Liek Hou tidak berhadapan masalah untuk melakar kemenangan straight set menewaskan Dheva 21-17, 21-15.

Set pertama menyaksikan juara dunia enam kali itu menerima tentangan sengit daripada pemain nombor satu dunia itu namun dia kekal tenang untuk mengekang kemaraan lawan sebelum mencatatkan kemenangan.

Situasi sama pada set kedua apabila Liek Hou yang mendapat tunjuk ajar legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek mengekalkan corak permainan hingga memerangkap Dheva untuk mengesahkan pingat emas miliknya.

Terdahulu, Liek Hou berjaya melangkah ke final selepas menewaskan wakil dari Taiwan Fang Jen Yu, 15-21, 21-10, 21-16, pagi tadi.

Liek Hou muncul juara Kumpulan B kategori SU5 selepas melakar kemenangan ketiga berturut-turut,

Dia menepati ramalan apabila mengatasi pemain Jepun, Taiyo Imai, 21-19, 21-12 dalam aksi terakhir kumpulan yang berlangsung semalam sekali gus layak ke separuh akhir sebagai juara kumpulan.

Dalam dua perlawanan awal sebelum ini, Liek Hou turut menang ke atas Ahmed Eldakror dari Mesir 21-3, 21-2 dan pemain Taiwan, Jen Yu 21-13, 21-9.

Sebelum ini, Bonnie Bunyau Gustin muncul atlet pertama negara berjaya menyumbangkan emas dalam acara powerlifting bagi kategori 72 kilogram (kg).

Disiarkan pada: September 4, 2021 @ 4:15pm
d