utama

Usaha bawa pulang Sajat sedang giat dijalankan - Bukit Aman

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha membawa pulang Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, usahawan kosmetik itu ditahan oleh pihak Imigresen Thailand pada 8 September lalu.

"Suspek ditahan kerana memiliki pasport tidak sah, pada jam 6 petang.

"Pada 9 September, suspek dihadapkan ke Mahkamah Thailand atas kesalahan imigresen dan dikenakan hukuman denda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ia berikutan suspek dikehendaki di Malaysia bersabit Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan.

Harian Metro semalam melaporkan, misteri 'kehilangan' usahawan Nur Sajat kini terjawab apabila dia dilaporkan sudah ditahan pihak imigresen Thailand pada 8 September lalu hasil maklumat pihak berkuasa Malaysia.

Untuk rekod, Nur Sajat, ditahan di sebuah kondominium mewah di Bangkok bersama seorang lelaki juga berperwatakan wanita warga Thailand ketika serbuan pihak imigresen jam 6 petang (waktu Thailand).

Pada 9 September atas kesalahan itu, Nur Sajat didakwa di mahkamah Thailand. Usahawan kosmetik itu bagaimanapun dibebaskan pada 10 September dengan jaminan AS$2,000 (RM8,343) yang dibuat seorang warga tempatan.

Nur Sajat kini diarahkan melaporkan diri ke Ibu Pejabat Imigresen Thailand setiap 14 hari dan ketika ditahan, dia yang kini sudah menjadi pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) mendakwa mahu berpindah ke Australia selepas diburu pihak berkuasa Malaysia dan diugut bunuh kerana umum keluar daripada Islam.

Skuad Khas Harian Metro turut mendedahkan, bagaimana penyamaran dilakukan usahawan kosmetik itu yang mengenakan purdah dan niqab serta membayar RM20,000 kepada seorang lelaki untuk diseludup keluar dari Malaysia.

Lelaki terbabit dilaporkan berjaya menyeludup keluar Nur Sajat menggunakan gerabak keretapi di Padang Besar Perlis, sebelum diserahkan kepada lelaki lain sebaik mereka tiba di Hat Yai, Thailand.

Nur Sajat kemudian dibawa lelaki itu ke Bangkok dan menjadikan sebuah kondominium mewah di kota raya itu sebagai pusat persembunyian sehinggalah dia ditahan.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 4:08pm
d