utama

Bunyi siren kuat jadi penyelamat

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bunyi siren yang kuat memberi amaran kepada komuniti penduduk setempat bagi menyelamatkan diri ke tempat yang lebih selamat, berjaya mengelakkan lebih ramai mangsa dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang di sini, semalam.

Seorang pekerja swasta dalam sektor perbankan Natasha Alya Saifudin, 26, berkata, beliau seakan tidak percaya kawasan perumahan yang didiami selama 20 tahun itu buat pertama kali terlibat dalam kejadian tanah runtuh pada kira-kira 5 petang semalam.

"Bunyi siren memang kuat. Tiba-tiba, terdengar dentuman dua kali runtuhan tanah yang kuat semasa hujan gerimis.

"Panik dan kelam kabut, saya terus berlari keluar dari rumah untuk tengok apa yang berlaku rupanya tanah memang sudah makin menurun," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian hari ini.

Menceritakan kembali detik cemas itu, Natasha Alya yang ketika itu berada berseorangan di rumah kerana bekerja dari rumah (BDR) terus menelefon bapanya yang berkhidmat sebagai pemandu kereta e-hailing untuk segera pulang ke rumah.

Menurutnya, kejadian yang berlaku sekelip mata tanpa sebarang tanda, sangat mengejutkan penduduk setempat kerana sebelum ini kawasan perumahannya tidak pernah terlibat dalam bencana alam mahupun banjir.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tong Kwan Chew, 53, berkata, beliau hanya menyedari kejadian selepas mendengar bunyi siren yang kuat daripada rumah putih bernombor '50', bertentangan dengan rumahnya.

"Saya memang sangat terkejut sebab tidak pernah dengar bunyi (siren) macam itu sebelum ini. Bila sudah keluar, jalan raya depan rumah memang sudah diselaputi lumpur.

"Saya terus membawa isteri dan tiga orang anak ke tempat yang selamat serta mengubah kedudukan tiga kereta di (kawasan taman bersebelahan)," katanya yang terpaksa bermalam di hotel bersama ahli keluarga kerana akur dengan arahan pihak berkuasa sebagai langkah berwaspada dan faktor keselamatan.

Tong berkata, beliau bersyukur kejadian tanah runtuh itu tidak mengancam keselamatan keluarganya yang merupakan kejadian pertama kali semenjak 23 tahun menghuni di situ.

Sementara itu, seorang wanita yang enggan dikenali berusia 50-an, menetap selama 20 tahun di kawasan tersebut turut bersyukur dirinya selamat dalam bencana itu.

"Semasa kejadian, ramai (penduduk) yang tidak berada di rumah sebab masih lagi waktu bekerja. Tetapi sebaik terdengar bunyi siren, memang saya terus keluar dari rumah untuk tengok keadaan sekeliling," katanya.

Beliau berkata, sebaik keluar dari rumah, tanah runtuh memang sudah merebak sehingga ke bawah dan jalan rumahnya sudah dipenuhi lumpur.

Insiden tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini petang semalam telah meragut empat nyawa manakala seorang cedera ringan selain menyaksikan 15 rumah serta 10 kenderaan terjejas.

Berita berkaitan

Bantuan RM10,000 kepada waris mangsa tanah runtuh: MB

Kejadian tanah runtuh di Malaysia sejak 2021

Mayat kedua ditemukan di hadapan rumah, mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri [METROTV]

Anjing K9 digunakan cari 2 mangsa tertimbus

Mayat kedua mangsa tertimbus ditemukan

Pekerja Air Selangor lihat lori dinaiki rakan ditimbus tanah

'Berlaku 2 kali runtuhan' - Saksi

Mangsa kedua tertimbus disahkan meninggal dunia

5 mangsa tertimbus, 2 sudah ditemukan

'Sama-sama kita berdoa...' - PM

Mangsa kedua tertimbus berjaya dikeluarkan

3 tertimbus, runtuhan tanah hempap rumah

Disiarkan pada: March 11, 2022 @ 12:06pm
d