utama

Budak hilang cuba selamatkan anak saudara jatuh laut [METROTV]

Oleh Syaherah Mustafa

Bachok: Seorang budak lelaki 12 tahun hilang selepas cuba menyelamatkan anak saudaranya yang terjatuh ke dalam laut di Pantai Kemayan di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 8 pagi itu, Ahmad Fadhlullah Mohamad dikatakan cuba menyelamatkan Muhammad Nabil Irfan Ismail Mokhtar, 11, yang tergelincir dari benteng batu di pantai terbabit.

Ibu mangsa, Rosnani Mohd Salleh, 60, berkata dia turut ada bersama ketika kejadian dan mengakui masih terkejut dengan apa yang terjadi selain berdoa semoga anak bongsunya itu segera ditemui.

"Kejadian berlaku sangat pantas apabila cucu saya, Muhammad Nabil, tiba-tiba tergelincir ke laut dan cuba diselamatkan oleh Ahmad Fadhlullah. Dalam masa sama, seorang lagi anak saya, Nurul Afiqah (19) turut sama terjun untuk membantu

"Namun, hanya Muhammad Nabil yang berjaya diselamatkan, manakala Ahmad Fadhlullah terus hilang dibawa ombak besar. Nurul Afiqah juga tidak berdaya selepas berjaya menarik Muhammad Nabil dan mereka kini mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

"Saya reda dengan apa sahaja yang bakal berlaku, tetapi sangat berharap agar anak saya segera ditemui," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Pantai Kemayan, di sini, hari ini.

Rosnani berkata, mereka sekeluarga bermalam di sebuah chalet berdekatan sempena hari keluarga dan sepatutnya menjalankan aktiviti sukaneka pada sebelah pagi, tetapi ia terpaksa dilupakan susulan kejadian itu.

Katanya, Ahmad Fadhlullah dibesarkan kakaknya Rosmaliza Mohamad, 41 di Kluang, Johor dan pulang ke kampung ketika musim cuti sekolah.

"Sejak kebelakangan ini dia berkelakuan agak pelik kerana sering mencium dan memeluk saya erat seakan-akan mahu pergi jauh.

"Tidak sangka, ini adalah petanda akan berlaku insiden seperti ini, tetapi jauh di sudut hati saya berdoa semoga dia ditemui selamat," katanya yang tinggal di Kampung Padang Enggang, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kehilangan kanak-kanak lelaki terbabit

Menurutnya, usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Disiarkan pada: March 5, 2023 @ 1:30pm
d