utama

Mahkamah Syariah luluskan tuntutan fasakh wanita koma [METROTV]

Oleh Ahmad Hasbi

Seremban: Mahkamah Rendah Syariah Seremban hari ini meluluskan permohonan tuntutan fasakh Jahidah Nordin, 44 terhadap suaminya, Rosmaini Abd Raof, 40, bermula hari ini.

Adik kepada Jahidah, Fauziah Nordin, 41, mengakui gembira menerima berita itu selepas kakaknya kini terlantar akibat kecederaan serius selepas dipukul suaminya itu pada kejadian Mei 2021.

Fauziah yang mewakili kakaknya itu berkata, dia membuat tuntutan fasakh mewakili Jahidah pada 1 Februari lalu dan bersyukur proses itu dipermudahkan tanpa menunggu lama.

"Saya sangat bersyukur sebab sudah lama tunggu supaya ada keputusan mengenai perkahwinan kakak ini. Saya memang tidak sangka akan dapat keputusan hari ini, rasa kurang sikit beban saya.

"Saya akan bincang dengan peguam untuk langkah seterusnya kerana ia perlu dilakukan satu persatu memandangkan saya perlu menjaga kakak dan anaknya," katanya ketika ditemui di luar mahkamah, hari ini.

Fauziah berkata, dia kini lega dan dan dapat memberi fokus terhadap kes jenayah membabitkan Rosmaini dengan kakaknya yang kini masih lagi dalam perbicaraan di mahkamah.

Terdahulu, di mahkamah, Peguam Mohd Amirul Adam Ahmad dari Jabatan Bantuan Guaman Negeri Sembilan yang mewakili Fauziah menyerahkan kenyataan bertulis kepada Hakim Hamizan Mohd Nor.

Mohd Amirul berkata, hakim membuat keputusan hari ini selepas mahkamah berpuas hati dengan keterangan secara bertulis oleh pihak penjaga ad litem serta berdasarkan dokumen yang dikemukakan.

Mengulas mengenai defendan atau wakilnya yang tidak hadir hari ini, Mohd Amirul berkata, sebelum ini pihaknya cuba menyerahkan saman secara kendiri di alamat terakhir Rosmaini di Johor,

"Tetapi apabila kami meminta bantuan Jabatan Bantuan Guaman Johor untuk serahkan saman (notis kehadiran), laporan yang kami terima tiada penghuni di rumah berkenaan.

"Jadi pilihan ada untuk memanggil pihak defendan hadir juga ke mahkamah adalah melalui saman ganti iaitu saman tampalan di alamat terakhir atau saman melalui iklan. Kami buat melalui iklan di akhbar Berita Harian pada 24 Februari," katanya.

Media pada Mei 2021 melaporkan, Jahidah yang hamil parah dipercayai dipukul suaminya dalam kejadian pada 4 Mei.

Jahidah yang juga kakitangan awam jabatan kerajaan dilaporkan berada di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas menerima rawatan awal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Mangsa parah pada kepala dan tengkorak akibat pendarahan selain rahang, tulang belakang serta rusuk retak disyaki dipukul suaminya.

Disiarkan pada: March 14, 2023 @ 1:58pm
d