utama

3 pengarah termahal Malaysia

Oleh Riadz Radzi & Zaara Talita

Kuala Lumpur: Ketika filem Sembilu II arahan dan terbitan Datuk Yusof Haslam mencipta sejarah sebagai filem tempatan pertama mencatat kutipan lebih RM6 juta, dua anaknya Syamsul dan Syafiq masing-masing baru berusia sembilan dan tiga tahun.

Kejayaan filem lakonan Datuk Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain itu juga membuatkan Yusof diberi gelaran 'Six Million Dollar Man'.

Kini, Yusof pasti bangga kerana dua anak lelakinya itu mengikut jejaknya sebagai pengarah filem. Malah, Syamsul, 39, dan Syafiq, 30, mencatat kejayaan lebih cemerlang dengan filem-filem arahan mereka.

Syamsul mencetus fenomena dengan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang mencatat kutipan hampir RM100 juta, manakala Syafiq kini mengekori Syamsul dengan filem terbaru, Polis Evo 3 dengan kutipan RM45 juta dan masih ditayangkan.

Dua beradik ini ternyata memiliki sentuhan tersendiri yang mampu menarik ramai penonton ke pawagam.

Yusof berkata, dia tidak pernah menyangka dua anaknya itu akan mewarisi bakatnya sebagai pengarah.

"Saya sendiri pun tak jangka. Kalau bapa pengarah, anak akan jadi pengarah juga. Saya tak nafikan, ini adalah zaman mereka.

"Apabila melihat hasil kerja mereka, saya dapat lihat bahawa mereka lebih kreatif kerana saya bekerja berdasarkan pengalaman dan lebih old school," katanya kepada Metro Ahad.

Selepas Syamsul dengan Mat Kilau tahun lalu, kali ini giliran Syafiq pula mencetus fenomena tahun ini dengan Polis Evo 3.

Selain itu, Syafiq turut menyerlah dengan siri Abang Long Fadil.

Ditanya mengenai kelebihan Syamsul dan Syafiq, Yusof berkata, mereka mempunyai kekuatan masing-masing.

"Mereka mampu bersaing secara sihat tanpa dibayangi satu sama lain. Pada usia yang muda, Syafiq dilihat lebih suka bereksperimen dari segi teknikal dan menguji kreativitinya melalui gerak kerja kamera.

Syamsul pula hebat dari segi penceritaan dan dari segi emosi. Tidak hairanlah apabila Syamsul dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak tiga kali iaitu menerusi filem KL Gangster, KL Gangster 2 dan Munafik," katanya.

Selain itu, Syamsul turut mencipta sejarah apabila menang Pengarah Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-57 pada 2017 menerusi filem Munafik.

Yusof berkata, dia bersyukur dengan segala rezeki yang Allah berikan.

"Semuanya soal rezeki, sebab itu saya enggan meletakkan sasaran kerana saya kurang gemar begitu. Sama-sama kita berdoa agar filem tempatan kita mendapat tempat yang baik. Saya bersyukur dengan pencapaian awal kutipan Polis Evo 3 ini.

"Malah, saya melihat sambutannya lebih baik daripada filem antarabangsa. Alhamdulillah, filem Abang Long Fadil dan Polis Evo sudah mempunyai jenama mereka sendiri, namun pucuk pangkalnya pada kandungan itu juga," katanya.

Yusof berkata, sokongan bukan saja harus diberikan terhadap filem terbitannya saja, tetapi buat semua produk keluaran tempatan yang berkualiti.

"Jangan dibandingkan dengan filem Mat Kilau kerana ia adalah satu dalam sejuta. Jika ditolak Mat Kilau, tangga teratas adalah filem Munafik 2 yang mencatat kutipan RM48 juta.

"Saya harap dengan izin Allah mudah-mudahan Polis Evo 3 mengatasi kutipan filem Munafik 2. Syamsul memegang rekod utama menerusi Mat Kilau dan Syafiq boleh berada di tempat kedua. Mudah-mudahan, kita hanya merancang," katanya.

Dalam pada itu, Yusof yang sudah mengarah 14 filem berkata, ramuan utama dalam menghasilkan filem adalah mencuba sedaya-upaya dan jangan 'syok sendiri'.

Yusof juga sering menasihatkan anak-anaknya untuk berpegang kepada pendirian sendiri mengikut selesa masyarakat.

"Saya sering berpesan kejayaan mengarah adalah usaha yang sudah dibuat, jadi berpegang pada pendirian sendiri.

"Jangan pernah menganggap diri adalah yang terbaik, sebaliknya perlu sentiasa merendah diri. Buat sehabis baik dan memberikan yang terbaik untuk filem yang diterima oleh masyarakat," katanya.

Dulu 'pak pacak' sekarang pengarah berjaya

Seperti bapanya, Syamsul Yusof, 39, turut bermula sebagai pelakon.

Bermula dengan watak 'pak pacak' ketika berusia 14 tahun dalam filem Maria Mariana II arahan bapanya, Datuk Yusof Haslam, Syamsul kemudian aktif berlakon dan mengarah dalam beberapa drama dan telefilem seperti Gerak Khas, Sembilu Kasih dan Air Mata Maria.

Pada 2008, dia tampil dengan filem pertama arahannya, Evolusi KL Drift. Selepas itu, Syamsul tidak menoleh ke belakang lagi dan seterusnya adalah sejarah.

Sehingga hari ini, Syamsul sudah mengarah 11 filem dan kebanyakannya mencatat kutipan pecah panggung dengan jumlah kutipan keseluruhan melebihi RM160 juta.

Filem terbaru arahannya, The Original Gangster kini sedang menjalani penggambaran.

Apa yang menarik mengenai filem arahan Syamsul ialah dia turut berlakon dalam semua filem terbabit kecuali Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Ditanya ramuan kejayaan filem-filemnya, Syamsul berkata, dia selalu membuat kajian untuk setiap filem arahannya.

"Walaupun filem itu memang cita rasa saya, tetapi saya tidak memandang remeh kepada jenis filem yang penonton Malaysia suka," katanya.

Menurut Syamsul, untuk tampil dengan filem yang bagus perlu ada skrip, judul dan konsep yang baik.

"Nampak senang, tetapi memang susah. Walaupun saya sudah buat 11 filem, saya tetap rasa susah. Itulah proses yang kita akan terus belajar," katanya.

'Ayah, abang adalah sifu saya'

Tak akan menyerah adalah kunci utama Syafiq Yusof, 30, dalam setiap pembikinan filemnya yang mencatat kutipan pecah panggung.

Syafiq menjadikan bapanya, Datuk Yusof Haslam dan abang, Syamsul sebagai 'sifu' dalam bidang perfileman.

Katanya, sejak kecil dia dididik untuk belajar dari kesilapan.

"Tiada ramuan rahsia atau formula untuk menghasilkan filem pecah panggung. Cuma apa yang saya belajar, adalah untuk tidak mudah berputus asa.

"Sifu saya adalah ayah dan abang. Mereka mengajar saya untuk terus berusaha. Teruskan membuat filem walaupun diduga dengan apa saja cabaran.

"Memang ada kelemahan, cuma jadikan ia sebagai pengajaran. Kita perbaiki dari setiap filem yang dihasilkan dan buat sebaik mungkin.

"Jangan sesekali menghasilkan sesuatu karya dengan separuh hati. Kita perlu memberikan sepenuh jiwa raga kepada setiap filem yang dihasilkan," katanya kepada Metro Ahad.

Sehingga hari ini Syafiq sudah mengarah 13 filem manakala dua lagi filem iaitu Syerif dan Telekinesis sedang menjalani penggambaran dan di peringkat awal.

Terbaru, Syafiq mencetus fenomena dengan filem Polis Evo 3 yang masih ditayangkan dengan kutipan lebih RM40 juta.

Setakat ini Polis Evo 3 menduduki tangga ketiga dalam senarai filem tempatan paling laris sepanjang zaman di belakang Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan (RM97 juta) dan Munafik 2 (RM48 juta) yang mana kedua-duanya diarahkan Syamsul.

Selain itu, Syafiq turut menyerlah dengan filem Abang Long Fadil, Abang Long Fadil 2 dan Abang Long Fadil 3.

Bercerita mengenai Polis Evo 3, Syafiq berkata, filem membabitkan kos lebih RM8 juta itu diperkuatkan dengan gandingan barisan pelakon hebat yang menghidupkan setiap watak.

"Saya sangat bersyukur. Saya juga berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menonton filem ini dan saya harap lebih ramai lagi yang akan menonton. Saya dan seluruh produksi bertungkus lumus untuk menghasilkan filem tempatan yang berkualiti," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2023 @ 12:00pm
d