utama

3 sekeluarga maut kemalangan

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Tiga sekeluarga maut selepas kereta yang mereka naiki kemalangan di Kilometer 375.8, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2), dekat Bukit Besi, di sini petang tadi.

Raja Nurhanani Nabila Raja Hussin, 23, meninggal dunia bersama anaknya, Nik Muhammad Zayyan Irfan Zulhilmi Ismail, dua bulan, dan ibunya, Noreha Mohamed, 53.

Kemalangan itu turut menyebabkan dua adik Raja Nurhanani iaitu Raja Haikal Najmi, 20, dan Raja Nurhumairaa Nadzirah, 17, parah.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu, kira-kira 7.30 malam.

Katanya, lima sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Kelantan ke Kem Tentera Darat Batu 10, Kuantan untuk menghantar Raja Nurhanani dan anaknya pulang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, Proton Wira dipandu Raja Haikal Najmi dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar kotak pembetung di kiri jalan sebelum terbalik.

"Pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang dipanggil ke lokasi bagi mengeluarkan kesemua mangsa," katanya.

Menurutnya, Noreha dan Nik Muhammad Zayyan Irfan disahkan maut di tempat kejadian, manakala Raja Nurhanani Nabila meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Hulu Terengganu, 10.30 malam tadi.

"Dua mangsa yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatansebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu," katanya.

Menurutnya, mayat Noreha dan Nik Muhammad Zayyan Irfan dibedah siasat di Bilik Forensik Hospital Dungun, sementara Raja Norhanani di Bilik Forensik Hospital Kuala Berang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan: 'Isteri kata nak ke tempat sangat jauh'

Disiarkan pada: July 26, 2023 @ 12:22am
d