utama

Mayat dalam guni: Tiga beranak didakwa bunuh kerani

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: Bapa dan dua anak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian kerani kewangan yang mayatnya disumbat dalam guni, dua minggu lalu.

Tertuduh, Datuk V Nanta Kumar, 51, dan dua anak lelakinya, Miren Ram, 24, dan Krithik Ram, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Faiz Dziyauddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, menyebabkan kematian lelaki warga India, A Vinayagamoorthy, 41, dengan niat menyebabkan kecederaan tubuh badan yang mungkin menyebabkan kematian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan membunuh di tapak besi buruk di Jalan Bersatu BS 5, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini pada 1.30 tengah hari, 4 Ogos lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca dengan Seksyen 34 akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Mahamad Amin dan ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam, Datuk Suraj Singh dan Kailash Sharma.

Ahmad Zuhaini tidak menawarkan sebarang jaminan kerana pertuduhan itu tergolong dalam kesalahan yang tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, Suraj memohon mahkamah memberikan ikat jamin.

"Meskipun pertuduhan ini tidak boleh dijamin namun mahkamah boleh menggunakan budi bicara untuk memberikan jaminan.

"Ketiga-tiga anak guam perlu dibenar jamin memandangkan selepas kejadian mereka membuat laporan polis dan sempat menghantar mangsa yang tercedera ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

"Sekiranya mereka (tertuduh) ingin melarikan diri, mereka tidak akan bergegas untuk membuat laporan polis.

"Nanta Kumar menghidap penyakit kencing manis dan penyakit tulang belakang manakalaMiren Ram menghidap penyakit asma sementara Krithik Ram terbabit dalam kemalangan baru-baru ini dan memerlukan rawatan.

"Oleh itu kami memohon supaya kesemua tertuduh dibenarkan jaminan," kata peguam itu.

Mendengar hujahan itu, Ahmad Zuhaini kekal untuk membantah permohonan Suraj untuk membenarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Faiz membenarkan tiga beranak itu masing-masing diikat jamin RM10,000 berserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah.

"Ketiga-tiga tertuduh juga perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali setiap bulan sehingga kes selesai," kata hakim itu.

Mahkamah menetapkan 19 September ini untuk sebutan kes.

Pada 6 Ogos lalu, Harian Metro melaporkan, satu mayat lelaki warga asing ditemui dalam guni di tapak besi buruk Taman Bukit Serdang.

Seramai 13 individu termasuk majikan mangsa terdiri daripada 10 lelaki dan tiga perempuan ditahan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati motif kejadian adalah berpunca daripada masalah kewangan yang dikatakan diambil oleh mangsa yang bekerja sebagai kerani kewangan di syarikatnya.

Suspek yang menyedari kehilangan wang membabitkan jumlah puluhan ribu ringgit itu dipercayai membawa mangsa dan disimpan di tempat kejadian beberapa hari sebelum dibunuh.

Kesemua suspek berusia 20 hingga 58 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang.

Disiarkan pada: August 16, 2023 @ 12:58pm
d