utama

'Arwah seorang imam, kerap nasihat soal kematian, tidak leka hal duniawi'

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: "Sejak dua minggu lalu, arwah semakin kerap bercakap mengenai kematian, pahala dosa dan hari pembalasan.

"Dia sering menasihatkan saya supaya tidak leka hal duniawi dan jangan lengahkan solat," kata Mohd Noor Hamizi, 39.

Mohd Noor adalah rakan karib kepada arwah Amiruddin Ismail, 46, yang Amiruddin yang maut bersama isteri dan empat anaknya dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan di sini, petang semalam.

Dia mengakui tidak menyangka kata-kata dan nasihat arwah yang juga Imam Masjid Ladang Tereh Utara, Kluang kepadanya dan rakan lain, petanda sahabatnya itu akan pergi buat selama-lamanya.

"Dia sering ceritakan hal dunia yang sementara, pelbagai perkara pelik (mungkar) berlaku tanpa mengira dosa dalam kehidupan harian sejak kebelakangan ini.

"Sebagai rakan dan menganggap arwah seperti abang kandung, saya akur atas segala nasihat arwah agar bersabar dan jangan bertindak di luar batasan, tetapi saya tidak sangka kekerapan nasihat arwah itu petanda pemergiannya," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS), di sini, pagi tadi.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah mengesahkan Amiruddin bersama isterinya Norahimah Noor Muhamad, 43, serta empat anaknya, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, terbunuh dalam kemalangan itu.

Disiarkan pada: September 2, 2023 @ 10:01am
d