utama

Tangisan, laungan Allahuakbar iringi penemuan Zayn Rayyan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Laungan 'Allahuakbar' dan tangisan hiba memecah kesunyian malam di kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai di sini, susulan penemuan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Harapan keluarga untuk menemui Zayn Rayyan, 6, yang hilang lebih 24 jam lalu tercapai, namun siapa sangka takdir Ilahi menetapkan kanak-kanak itu tidak bernyawa lagi.

Lebih memilukan apabila bapa Zayn Rayyan dilihat sukar menerima berita penemuan menyedihkan itu dan pengsan beberapa kali.

Kawasan parkir Apartmen Idaman turut dipenuhi kira-kira 100 orang yang berkongsi kesedihan keluarga Zayn Rayyan, sambil ahli keluarga dan jiran menenangkan ibu bapanya.

Ketika ini polis masih lagi melakukan siasatan lanjut di lokasi penemuan di kawasan sungai yang terletak berhampiran kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid dilapor berkata, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia pada 10 malam, dengan polis sebelum itu melakukan operasi pencarian rumah ke rumah bermula 9 malam.

Disiarkan pada: December 6, 2023 @ 11:46pm
d