utama

Kes bunuh Zayn Rayyan: Kesan cap jari, DNA diharap beri petunjuk

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Petaling Jaya: Polis berharap kesan cap jari dan asid deoksiribonukleik (DNA) dipercayai milik suspek pembunuhan Zayn Rayyan dapat membantu mengenal pasti individu yang melakukan jenayah kejam itu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bagaimanapun mengakui kerumitan yang perlu dihadapi pihaknya bagi merungkai perkara sebenar yang berlaku dalam usaha membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Mengambil kira kes ini bukan straight forward (mudah) jadi pihak polis ketika ini mempunyai keterangan yang agak terhad untuk kita melakukan sebarang tangkapan dalam masa yang terdekat ini.

"Jadi ada dua fasa siasatan, pertama berkaitan pencarian dan mengumpul keterangan fizikal di tempat kejadian dan sekitar kawasan kejadian.

"Kedua membabitkan siasatan dari rumah ke rumah yang mana kawasan ini mempunyai 18 blok membabitkan 2,400 rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Hussein berkata, keputusan ujian cap jari dan DNA dijangka diperoleh dalam tempoh dua ke tiga hari lagi diharap dapat membantu mengenal pasti suspek terbabit.

"Kita sudah menghantar beberapa barang kes yang diperoleh semasa bedah siasat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk mendapatkan maklumat forensik.

"Ini termasuk cap jari dan DNA suspek, kita juga akan memulakan satu proses mass DNA screening (ujian DNA beramai-ramai) yang boleh membantu polis mengesan mereka yang terbabit," katanya.

Dalam pada itu Hussein turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang kenyataan palsu atau komen di media sosial berhubung kes itu.

Katanya, tindakan itu bukan sahaja boleh mengganggu siasatan malah ia juga dikhuatiri menyinggung sensitiviti ahli keluarga mangsa.

"Jadi jangan mengeruhkan lagi keadaan, beri kepercayaan kepada pihak polis dan ruang kepada pihak polis untuk siasat sehingga tertangkapnya pihak yang terbabit," katanya

Disiarkan pada: December 8, 2023 @ 9:22pm
d