utama

Kes Zayn Rayyan: Polis minta bantuan Interpol

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Gombak: Persoalan berhubung lokasi sebenar Zayn Rayyan Abdul Matiin dibunuh terus menjadi tanda tanya walaupun sudah masuk hari ke 18 kanak-kanak autistik itu ditemui meninggal dunia berhampiran rumahnya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, usaha mengenal pasti lokasi pembunuhan itu terjadi amat penting bagi mengumpul bukti dalam usaha merungkai identiti individu terbabit melakukan perbuatan kejam itu.

"Seperti yang kita pernah maklumkan sebelum ini tempat kejadian yang kita jumpa itu adalah lokasi jenayah secodndary (sekunder) yang mana kurang untuk kita dapatkan bukti.

"Kita minta bantuan Interpol kerana dalam pangkalan data mereka (mungkin) ada maklumat (berkaitan) walaupun bukan konklusif tapi (ada) yang boleh bantu," katannya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya mengambil langkah itu sebagai satu daripada usaha bagi mengesan suspek terbabit dalam pembunuhan itu.

Katanya, pelbagai usaha yang dijalankam sebelum ini termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kawasan sekitar, rakaman kamera papan pemuka, dan merakam percakapan 225 individu hanya menimbulkan bukti-bukti minimal.

Menurutnya, menerusi pemeriksaan rumah ke rumah, pihaknya sudah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu.

"Daripada keseluruhan sampel itu, sebanyak 240 sampel sudah dianalisa dan lain-lain sampel yang dihantar ke Jabatan Kimia kita sudah pun dapat keputusan.

"Walau bagaimanapun, tiada keputusan positif yang dapat membantu siasatan buat masa ini," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, Zayn Rayyan yang dilapor hilang ditemui meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya jam 10 malam 6 Disember lalu.

Susulan itu, hasil penemuan bedah siasat pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 (bunuh) selepas menemui kesan kecederaan mempertahankan diri dan kecederaan pada bahagian leher mangsa.

Disiarkan pada: December 23, 2023 @ 5:28pm
d