utama

Projek 'hijaukan' Saudi

Oleh Agensi

Riyadh: Pusat Kebangsaan untuk Pembangunan Litupan Tumbuhan dan Memerangi Desertifikasi, selesai menanam 150,000 pokok di Taman Negara Saiysad, Taif, baru-baru ini, lapor Arab News.

Ia sebahagian daripada program kebangsaan untuk menanam 10 bilion pokok di negara ini, salah satu sasaran Inisiatif Hijau Arab Saudi (SGI).

Semua pokok yang ditanam menerusi progam itu termasuk jujub, akasia, seyal dan Vachellia flava. Turut ditanam ialah tumbuhan renek seperti dodonaea dan pokok inai.

Projek berkenaan meliputi lapan lokasi berbeza dalam taman negara seluas 28 juta meter persegi itu. Ia salah satu taman terbesar di wilayah Makkah dan salah satu taman tertua di Arab Saudi.

Taman ini terletak kira-kira 15 kilometer di timur laut dari Taif. Menurut Arab News, namanya dikaitkan dengan empangan Saiysad purba. Ia antara rizab alam semula jadi tersendiri yang dikelilingi gunung-ganang dengan pokok yang berdaun lebat dan kawasan hijau yang luas.

Dengan tujuan membangunkan taman itu dan mempromosikan pelaburan dan perkhidmatan kepada orang ramai, pusat kebangsaan itu juga menawarkan 17 peluang pelaburan sementara di kawasan taman berkenaan.

Pusat itu juga memulakan beberapa inisiatif komuniti dan kesukarelawanan untuk penanaman semula hutan dan pembersihan. Menurut laporan Arab News, taman ini juga terbuka kepada aktiviti perkhemahan dan karavan.

Selain itu, ia berusaha untuk membangun, melindungi, mengawal dan memulihkan tapak dengan tumbuhan yang terdegradasi di samping mengurus dan melabur di tanah padang rumput, hutan dan taman negara.

Selain itu, pusat itu berperanan untuk mengesan pencerobohan tumbuhan, memerangi pembalakan haram di dalam negara di samping memulihara sumber asli dan biodiversiti.

Menurut Arab News, Arab Saudi menjadi salah satu penyokong terbesar kehidupan hijau. Ia sedang membangunkan banyak projek di seluruh negara, termasuk projek alam sekitar, untuk meningkatkan kualiti kehidupan dan mengambil bahagian dalam mengurangkan kesan perubahan iklim di seluruh dunia.

Sejak pelancaran SGI pada 2021, lebih daripada 43 juta pokok dan pokok renek ditanam dan 94,000 hektar tanah terdegradasi - bersamaan luas kira-kira 146,000 padang bola sepak - dipulihkan di seluruh negara ini.

Disiarkan pada: January 21, 2024 @ 8:00am
d