utama

Pengampunan Najib: Lembaga Pengampunan akan keluar kenyataan

Oleh Ercy Gracella Ajos

Kuala Lumpur: "Tunggu kenyataan rasmi daripada Lembaga Pengampunan," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada sidang media Majlis Peluncuran Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media sama ada turut hadir dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang dikatakan diadakan semalam dan apa hasil daripada mesyuarat terbabit.

Bagaimanapun, beliau yang juga terbabit dalam mesyuarat itu, tidak memaklumkan bila kenyataan rasmi itu akan dikeluarkan.

Dr Zaliha dalam pada itu memaklumkan mesyuarat Lembaga Pengampunan itu diadakan di Istana Negara.

Semalam, media tempatan melaporkan Lembaga Pengampunan mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dengan antara agenda mesyuarat terbabit adalah mengenai hukuman penjara yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu.

Difahamkan mesyuarat berkenaan menjadi mesyuarat rasmi terakhir bagi Al-Sultan Abdullah sebelum pemerintahan baginda berakhir hari ini dan kembali sebagai Sultan Pahang.

Desas-desus mengenai pengampunan Najib dibincangkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 10 Januari lalu, Pasukan pembelaan bekas Perdana Menteri yang diketuai oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menafikan dakwaan sebuah portal berita bahawa Lembaga Pengampunan akan memutuskan permohonannya untuk pengampunan diraja pada akhir bulan ini.

Beliau berkata, mereka tidak menerima sebarang kemas kini mengenai permohonan mereka setakat Disember lalu.

Pada 24 Januari lalu, menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata tiada perbincangan mengenai perkara berkaitan Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat Kabinet pada minggu sebelumnya.

Disiarkan pada: January 30, 2024 @ 1:49pm
d