utama

Pakar perubatan sifatkan Faisal sangat 'istimewa'

Oleh Syazwan Msar

Shah Alam: Tonggak skuad Harimau Malaya, Faisal Halim dianggap 'istimewa' oleh barisan doktor pakar yang merawatnya selepas melihat kesan lecuran di anggota badannya menunjukkan tanda pemulihan cukup cepat.

Situasi terbabit dimaklumkan Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC (SFC), Datuk Seri Shahril Mokhtar sambil menyatakan Faisal yang juga tonggak utama skuad Gergasi Merah Kuning kemungkinan akan pulang ke rumahnya pertengahan bulan depan.

Beliau berkata, proses pemulihan pemain berusia 26 tahun itu berjalan lancar namun perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari lagi untuk menjalani prosedur pembedahan seterusnya bagi merawat lecuran di beberapa anggota badannya.

"Sekarang ini, doktor maklumkan biarlah badan Faisal membuat 'kerjanya' sebelum menunggu masa sesuai untuk menjalani pembedahan seterusnya kerana ketika ini paling penting adalah mahu memastikan tiada sebarang komplikasi.

"Doktor pakar yang merawatnya mengganggap Faisal seorang yang istimewa kerana proses pemulihan dia sangat cepat.

"Namun cepat atau tak, dia tetap kena ambil masa seminggu lagi untuk berada di unit rawatan rapi (ICU) sebelum dapat kebenaran doktor untuk pindah ke wad lain," katanya.

Terdahulu, Faisal yang mengalami lecur tahap empat kerana disimbah asid sulfurik selesai menjalani pembedahan ketiga membabitkan prosedur 'skin allograft' yang berlangsung selama kira-kira tiga jam.

Mengikut rekod, Faisal terpaksa mengharungi beberapa siri pembedahan bagi merawat lecur akibat disimbah asid tempoh hari.

Faisal disahkan doktor mengalami kecederaan di bahagian muka, leher, lengan dan badan kesan daripada curahan asid itu.

Sementara itu, Shahril yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal SFC memaklumkan ketika ini Faisal tidak boleh dilawati individu lain kerana mahu memastikan prosedur 'skin allograft' berjalan lancar tanpa sebarang jangkitan kuman.

Disiarkan pada: May 11, 2024 @ 11:52am
d