utama

Lelaki ceroboh balai polis, cuba rampas submesingan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Lelaki dengan empat rekod lampau ditahan selepas cuba merampas submesingan jenis HK MP5 dalam milikan anggota di pintu pagar Balai Polis Dato' Keramat di sini, awal pagi tadi.

Suspek berusia 35 tahun berkenaan dikatakan menunggang motosikal, menghampiri anggota yang sedang menjalankan tugas di balai berkenaan pada jam 4 pagi sebelum meminta membuka pintu pagar.

Sumber berkata, anggota berkenaan meminta suspek menyatakan tujuan ke balai namun lelaki itu mengeluarkan kata-kata kesat selain menceroboh masuk perkarangan balai.

Sebaik memasuki pekarangan balai, suspek cuba merampas submesingan HK MP5 dalam milikan anggota berkenaan namun gagal.

Susulan itu, anggota berkenaan cuba menenangkan suspek termasuk memberi amaran supaya tidak mengulangi tindakannya, tetapi suspek secara tiba-tiba membuka topi keledarnya dan menyerang anggota terbabit.

Tindakan suspek gagal selepas anggota berkenaan yang dibantu rakan setugas berjaya menahannya.

Difahamkan, suspek mengalami kecederaan pada muka dan tangan susulan bergelut ketika anggota melakukan tangkapan dan kini sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurut sumber lagi, suspek dalam keadaan mabuk ketika kejadian dan saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Difahamkan suspek direman empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung insiden itu.

Disiarkan pada: May 19, 2024 @ 2:59pm
d