utama

Malam terakhir bersama baba

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Shah Alam: "Itu gambar malam terakhir kami tidur bersama baba (jenazah ayah) cuma yang berbeza ialah baba sudah tak bernyawa dan itu akan menjadi kenangan abadi kami selepas berpisah buat selamanya," luah Nur Asnahanis Shah Shahrolnizam, 23.

Nur Asnahanis adalah individu yang mendapat perhatian di TikTok selepas berkongsi gambarnya bersama adik-beradik termasuk kakak ipar tidur di samping jenazah bapa yang meninggal dunia pada 25 Mei lalu.

Nur Asnahanis Shah berkata, bapa, Shahrolnizam Yahya, 53, meninggal dunia akibat pendarahan dalam otak dan angin ahmar sebelah kanan badan ketika mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Koronari (CCU) di Hospital Shah Alam di sini.

Menurutnya, gambar berkenaan dirakam ibu saudara ketika dia bersama seorang lagi adik-beradik perempuan, dua abang dan tiga kakak ipar sedang berehat dan tidur sebentar di samping jenazah bapa selepas membaca Yasin untuknya.

"Kami bergilir-gilir adik beradik dan saudara-mara lain baca Yasin untuk baba. Mama (Zainun Ahmad) suruh kami tidur dan baring dekat baba untuk berehat sekejap kerana kami sudah tiga hari tak tidur kerana berkampung di hospital.

"Mama dan seorang lagi abang ketika itu membaca Yasin berhampiran baba. Kami baring dekat baba untuk terakhir sebelum arwah dikebumikan. Pengurusan jenazah diuruskan kami adik-beradik dengan bantuan keluarga dan ahli kariah.

"Semua anak lelaki baba dan adik lelakinya bantu mandi dan kebumikan baba dengan abang sulung (Muhammad Muzhaffar Shahz) turut bacakan talkin di kubur dan sebelum itu abang kedua, (Muhammad Shah Samsuri) imamkan solat jenazah baba," katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Dia yang juga anak kelima daripada enam beradik itu berkata, pemergian bapa bukan saja dirasai ibu dan mereka adik-beradik, malah menantu termasuk seluruh ahli keluarga besar mereka juga merasai kehilangan itu.

"Baba seorang yang penyayang dan mementingkan keluarga, malah semua anak memang manja dengan arwah. Baba juga melayan menantunya sama seperti anak kandung sendiri.

"Saya kongsi gambar terakhir kami di TikTok untuk kenangan dan berterima kasih dengan doa orang ramai untuk arwah. Saya baca komen netizen yang turut berkongsi pengalaman kehilangan insan tersayang dan ia juga meruntun hati saya," katanya.

Bercerita lanjut, dia yang menetap di Seksyen 26, di sini berkata, sebelum itu bapanya mengalami sesak nafas dan dihantar ke hospital pada 22 Mei sebelum keadaannya kembali stabil pada keesokan dan sempat bergurau bersama keluarga.

"Ketika itu baba beritahu teringin makan buah betik dan kami bawakan buah itu untuknya sebelum kami keluar sekejap kerana arwah cakap nak tidur dan berehat. Kami kemudian balik ke rumah sebelum patah balik semula ke hospital untuk beri baba makan kira-kira jam 6 petang.

"Apabila saya dan adik pergi ke wad kami lihat sudah ramai jururawat berada di katil baba dan keadaan baba ketika itu seperti tidak sedarkan diri. Pada malam pula doktor hubungi abang beritahu ada pendarahan di kepala baba selain arwah juga mengalami angin ahmar," katanya.

Katanya, mereka kemudian dimaklumkan bapa mengalami sesak nafas yang teruk pada keesokannya dan pembedahan untuk membuang pendarahan di kepala tidak boleh dilakukan kerana jantung bapa terlalu lemah dan berisiko untuknya.

"Akhirnya baba meninggal dunia pada 8.07 malam Sabtu lalu," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2024 @ 7:02am
d