utama

'Barang kemas hilang, duit raya pun ada yang perompak gagau'

Oleh Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Seorang usahawan makanan dan juga pempengaruh media sosial, Kieda Crepe mendakwa mengalami kerugian kira-kira RM800,000 selepas peti besi mengandungi barangan kemas miliknya dilarikan perompak yang memecah masuk rumahnya di Pokok Sena, di sini, 25 April lalu.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Kieda atau nama sebenarnya Siti Nur Khalieda Yusra, 27 menerusi platform TikTok, hari ini dengan ditemani suaminya, Muhammad Hilmi Mohd Zaki.

Berdasarkan perkongsian dalam video berdurasi enam minit 34 saat itu, Kieda berkata, dia baharu mempunyai kekuatan untuk menceritakan kejadian yang menimpanya selepas barang kemas termasuk sejumlah wang tunai lesap dilarikan perompak.

"Semangat Kieda hilang bila barang kemas hilang dan selain itu, duit raya pun ada yang perompak gagau (ambil).

"Sudah cukup 40 hari baru Kieda ada kekuatan untuk 'update', tapi sehingga sekarang masih belum ada tangkapan.

"Kieda berharap siapa yang ada maklumat mengenai barang kemas tolong beritahu Kieda, akan ada ganjaran untuk anda," katanya.

Kieda mendakwa peti besi yang dilarikan itu seberat 200 kilogram (kg) berisi barang kemas bernilai RM800,000.

Dalam pada itu, suaminya,Muhammad Hilmi berkata, ketika kejadian dia dan keluarganya baharu pulang ke rumah mereka pada 11.40 malam.

Menurutnya, sebaik sahaja masuk ke rumah, dia menyedari sesuatu telah berlaku susulan terdapat kelainan di bahagian ruang tamu.

"Kieda terus menghubungi sepupunya dan saya meminta isteri dan anak-anak duduk di dalam kenderaan, manakala saya dan sepupunya kemudian memeriksa bahagian luar rumah dan mendapati mendapati tingkap telah diumpil.

"Keadaan dalam rumah tidak berselerak kecuali bilik tidur di mana sebuah peti besi telah dilarikan perompak terbabit," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Superintendan Zulkeflee Sulaiman, berkata pihaknya sedang mengesan suspek yang melarikan barangan kemas usahawan yang juga pempengaruh media sosial berkenaan.

"Siasatan masih berjalan, kita tak tutup kes. Memang suspek belum dikenal pasti sebab tiada saksi yang nampak kejadian itu.

"Kita ada temui tujuh kesan cap jari di lokasi kejadian tetapi berdasarkan semakan yang dibuat, didapati tiada satu pun cap jari itu yang ada rekod dalam pangkalan data jenayah kita," katanya.

Tegasnya, polis sentiasa memaklumkan akan perkembangan terkini berhubung kes terbabit malah pempengaruh itu turut datang ke balai pada 22 Mei lalu untuk bertemu pegawai penyiasat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: June 3, 2024 @ 3:40pm
d