utama

Hidup baru bermula di Amerika

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: "Emak kenapa kami tak dapat belajar? Apa salah kami? Boleh ke kami capai cita-cita?"

Begitu kata-kata sering diungkapkan anak wanita etnik Rohingya, Amirah Anisah Samad, 35, hingga mendorongnya berhijrah ke Chicago, Amerika Syarikat (AS) selepas lebih tiga dekad menetap di Malaysia.

Kini, Amirah sudah berada di negara Uncle Sam itu sejak lebih sebulan lalu dan tidak berseorangan kerana ditemani suami serta empat anaknya berusia 11 hingga 17 tahun.

Kisahnya juga mendapat perhatian warganet selepas Amirah berkongsi kisah mengenai penghijrahannya di TikTok.

Menceritakan kisahnya, Amirah mengakui berat hati meninggalkan Malaysia yang menjadi tempatnya membesar daripada kecil hingga dewasa.

Bagaimanapun, Amirah yang pernah bekerja sebagai jurubahasa selama tujuh tahun itu nekad berhijrah demi masa depan yang lebih cerah.

"Saya dilahirkan di Kelantan dan membesar di sana sehingga usia 17 tahun sebelum berpindah ke Pulau Pinang pada tahun berikutnya serta duduk di sana hingga bulan lalu.

"Alhamdulillah, kehidupan di Malaysia sangat menyeronokkan kerana aman damai, jiran semuanya baik, boleh keluar ke mana saja dengan bebas... penempatan, makan minum, semua okey.

"Cuma saya tak dapat belajar dan keistimewaan kerana status sebagai pelarian dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) tapi faham serta menghormati undang-undang Malaysia," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menceritakan soal penghijrahannya, Amirah berkata, dia sekeluarga ada membuat permohonan ke negara ketiga pada 2013.

Selepas tiga tahun iaitu pada 2016, permohonannya diterima dan melalui tiga sesi temu duga di pejabat UNHCR dengan yang ketiga bersama pihak imigresen AS.

Menurut Amirah, dia dan keluarga juga dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dihantar mengikuti kursus cara menaiki pesawat serta berkaitan selepas melepasi sesi temu duga.

"Kami sekeluarga melepasi semua peringkat hingga lulus, tapi itu namanya rezeki.

"Sebelum berhijrah ke sini (AS), memang banyak perkara kami fikirkan antaranya macam mana nak hidup di negara bukan majoriti Islam seperti di Malaysia.

"Tapi, Alhamdulillah, kami sekeluarga diterima baik, malah sebaik tiba di sini, kami disambut oleh 12 orang yang pegang pemidang sambil membawa jambangan bunga sebagai tanda menyambut kedatangan kami.

"Mereka sangat mesra, cuma saya hanya dapat sesuaikan diri pada hari ke-10 kerana banyak berubah termasuk perubahan waktu tidur," katanya.

Berkongsi perancangannya, Amirah berkata, dia dan suami akan berusaha membesarkan anak-anak di AS dan paling penting memastikan mereka mendapat pendidikan sempurna.

Orang Amerika beri layanan baik

Selepas hampir tiga dekad tinggal di negara ini, Maira Zara Mohd yang juga entik Rohingya berhijrah ke Amerika Syarikat (AS) pada 17 Oktober tahun lalu.

Kini sudah tujuh bulan Maira Zara, 30, menetap di negara terbabit dan mengakui sudah dapat membiasakan diri dengan kehidupan di tempat barunya itu.

Katanya, penerimaan masyarakat juga sangat baik dan memberi semangat kepadanya untuk memulakan hidup baru di AS.

"Terharu kerana walaupun bukan sama bangsa dengan saya dan tahu saya orang luar namun mereka (warga AS) beri layanan baik.

"Mereka tak bezakan biarpun saya sekeluarga adalah pelarian. Setakat ini okey, anak pun seronok sudah masuk ke sekolah.

"Suami pun bekerja di bahagian pembungkusan di kilang pembuatan piza. Kami mahu berusaha supaya dapat beli aset seperti rumah, juga kereta di sini," katanya ketika
dihubungi di sini.

Bercerita lanjut, Maira Zara yang dilahirkan di Terengganu berkata, dia sangat seronok menetap di Malaysia sebelum ini kerana dikelilingi orang yang baik.

Menurutnya, layanan baik yang diterima juga menyebabkannya tidak berasa terpinggir walaupun berstatus pelarian.

"Saya dibesarkan di Kuala Besut dan sejak kecil sampai besar, saya tak dapat layanan buruk.

"Jiran dan orang kampung semua sayangkan kami sampai ajak pergi kenduri hingga saya tak rasa ada beza walaupun tahu saya ini etnik Rohingya yang mereka gelar orang Burma.

"Tapi, selepas emak dan ayah berhijrah ke Amerika Syarikat dengan empat adik-beradik saya yang lain, saya ambil keputusan pindah supaya dekat dengan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR)," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2024 @ 12:00pm
d