utama

'Saya mahu keadilan untuk Zayn, anak dan menantu' - Zahari

Oleh Suraya Roslan

Petaling Jaya: "Saya mahu keadilan. Keadilan untuk Zayn Rayyan cucu saya dan untuk anak serta menantu," kata Zahari Mohd Reba, 56, bapa kepada suspek lelaki.

Menurutnya, sepanjang siasatan dan pencarian dilakukan, anak lelakinya sentiasa berada bersamanya.

"Pada masa kejadian (dan pencarian), dia (anak lelaki) berada dengan saya," katanya kepada media di pekarangan mahkamah di sini hari ini.

Ditanya mengenai ungkapan anak lelakinya menyebut dianiaya, Zahari berkata, dia tidak boleh membuat sebarang kenyataan tetapi percaya polis membuat siasatan dengan telus dan adil.

Mengulas isu peguam Mahmud Abdul Jumaat yang menarik diri, Zahari berkata, ketika kejadian dia tidak berada di rumah dan atas inisiatif satu badan bukan kerajaan (NGO) yang mencari peguam.

"Saya balik rumah, Isnin saya berjumpa dengan Mahmud Jumaat, sebenarnya tiada surat rasmi untuk lantik beliau sebagai peguam.

"Jadi saya berjumpa dengan Fahmi (peguam Fahmi Abd Moin) dan beliau adalah peguam rasmi yang saya lantik. Sebenarnya salah faham kedua-dua pihak mungkin antara pihak media dan Mahmud. Tidak timbul soal menarik diri, ini salah faham," katanya.

Sementara itu, ibu kepada suspek lelaki yang enggan dikenali berharap siasatan polis terhadap anak dan menantunya dijalankan penuh adil untuk semua pihak.

"Sekarang kita nak fokus keadilan untuk Zayn, mereka memang ibu bapa yang sangat baik," katanya.

Terdahulu, berlaku sedikit kekecohan ketika ibu bapa kepada kanak-kanak autistik itu tiba di mahkamah pada jam 9.30 pagi selepas bapa Zayn Rayyan menjerit; "Ini semua fitnah" diikuti dengan laungan "Isma, Zaim strong" oleh ahli keluarga mereka.

Keluarga kepada ibu bapa Zayn Rayyan juga dilihat berkumpul sambil memegang kain rentang bertulis 'Justice for Zaim dan Isma' di pekarangan mahkamah.

Terdahulu, peguam pasangan itu, Fahmi Abd Moin, ketika mengesahkan perintah reman baharu itu yang akan tamat pada Rabu depan dikeluarkan Majistret Ainaa Muhamad Kamal.

Pasangan suami isteri itu yang berbaju lokap berwarna ungu direman sehingga Rabu, bagaimanapun, pihak media tidak dibenarkan untuk mengikuti prosiding itu, memandangkan ia masih lagi di peringkat permohonan untuk siasatan.

Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemui meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Disiarkan pada: June 7, 2024 @ 12:31pm
d