utama

'Mommy, Daddy mana?'- Mateen adik kepada Zayn

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Petaling Jaya: "Mommy, Daddy mana?" Itu pertanyaan adik kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang meninggal dunia akibat dibunuh tahun lalu.

Ia selepas ibu bapa kanak-kanak terbabit ditahan polis dan kini dalam reman bagi membantu siasatan pembunuhan Zayn mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Datuknya, Zahari Mohd Reba berkata, sehingga kini cucunya, Mateen masih mencari ibu bapanya yang tidak bersamanya.

Menurutnya, dia banyak termenung dan tidak berapa ceria seperti ketika ibu bapanya ada bersama.

"Mateen juga kurang berselera makan nasi dan hanya menjamah ayam goreng.

"Namun Insya-Allah kami tetap akan menjaga Mateen," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan polis menyambung reman ibu bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan terhadap kedua-dua mereka.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pasangan itu akan direman enam hari sehingga 13 Jun ini.

Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada jam 9 malam 6 Disember lalu.

Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.

Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 6.30 petang oleh keluarganya.

Disiarkan pada: June 8, 2024 @ 4:44pm
d