utama

Budak 5 tahun mati dibunuh, ibu bapa angkat ditahan

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Polis, semalam, menahan suami isteri bagi membantu siasatan kes kematian anak angkat perempuan mereka yang berusia lima tahun, dipercayai akibat didera.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, 9.45 pagi semalam.

Beliau berkata, pegawai perubatan itu memaklumkan mangsa dibawa ke zon merah wad kecemasan untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan, sebelum kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan ke atas mangsa yang dibawa dari Taman Malkop Silibin di sini, ke hospital, mendapati kesan lebam di seluruh anggota badannya dan kanak-kanak itu disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.

Menurutnya, selain itu, hasil bedah siasat petang semalam mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan multiple blunt injuries (kecederaan disebabkan berbilang objek tumpul).

"Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada salur peranakan luar (vagina) dan dubur mangsa.

"Bertindak atas maklumat yang diperoleh 9.45 pagi semalam (Isnin), polis menuju ke lokasi kejadian bertempat di sebuah rumah di Taman Malkop Silibih di sini, bagi menjalankan siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya susulan itu, suspek wanita berusia 27 tahun yang juga ibu angkat mangsa serta suaminya berusia 66 tahun ditahan bagi membantu siasatan dengan permohonan reman dibuat terhadap kedua-kedua mereka dibuat pagi ini di Mahkamah Ipoh.

"Ibu angkat mangsa dan suaminya itu ditangkap jam 2.30 petang semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh," katanya.

Disiarkan pada: June 11, 2024 @ 10:04am
d