utama

Lapan ditahan sindiket jual tanah milik Felda

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman lapan individu termasuk broker, pegawai bank, pengarah syarikat serta orang awam di Kuala Lumpur dan Sabah kerana dipercayai bersekongkol dengan menerima rasuah hampir RM2 juta daripada sindiket penjualan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Melaka.

Mereka yang ditahan di Kuala Lumpur membabitkan tiga broker dan dua orang awam, manakala di Sabah pula membabitkan dua pegawai bank serta seorang pengarah syarikat, kesemuanya berusia lingkungan 20 hingga 50-an.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 17 Jun 2024 terhadap lima suspek lelaki berkenaan dikeluarkan Majistret Lili Marisqa Khalizan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, manakala perintah reman selama enam hari sehingga 16 Jun 2024 terhadap tiga suspek iaitu dua wanita dan seorang lelaki dikeluarkan Majistret Wan Farrah Afriza Wan Ghazali di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu selepas permohonan dibuat SPRM hari ini.

Menurut sumber, tiga broker bersama-sama pengarah syarikat dan dua orang awam yang bertindak sebagai orang tengah itu memberi rasuah hampir RM2 juta kepada dua pegawai bank berkenaan sebagai balasan membantu meluluskan pembukaan akaun perbankan yang kononnya didaftarkan atas nama Felda.

"Akaun perbankan yang dibuka dengan bantuan pegawai bank berkenaan atas nama Felda ini bagi memancing kepercayaan pembeli yang menyangkakan urus niaga penjualan tanah itu adalah tulen daripada Felda, seterusnya melakukan pembayaran ke akaun berkenaan.

"Tindakan pegawai bank yang bersekongkol dengan sindiket ini menyebabkan tanah milik Felda seluas kira-kira 260 hektar bernilai RM400 juta di Bukit Katil, Melaka sudah dijual pada 2023," katanya.

Sumber berkata, kesemua suspek ditahan antara jam 6 petang semalam hingga 1 pagi hari ini ketika hadir bagi dirakamkan keterangan di Pejabat SPRM Kuala Lumpur dan Pejabat SPRM Sabah.

Katanya, susulan penahanan itu juga, SPRM turut menyita hampir 200 akaun bank milik individu dan syarikat membabitkan nilai lebih RM28 juta.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA)

Disiarkan pada: June 11, 2024 @ 7:46pm
d