utama

Ibu bapa Zayn Rayyan selesai bayar ikat jamin RM20,000

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Ibu dan bapa kepada kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin keluar dari perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya selepas selesai membayar wang ikat jamin.

Kedua-dua tertuduh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf selesai membayar ikat jamin sebanyak RM20,000 pada 12.40 tengah hari.

Suami isteri berkenaan diiringi ahli keluarga dan dilihat menaiki kenderaan jenis Perodua Myvi pada 12.47 tengah hari.

Ismanira dilihat sempat melambaikan tangan sebelum menaiki kenderaan berkenaan.

Terdahulu, pasangan itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, Disember tahun lalu.

Suami isteri itu masing-masing dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Zaim Ikhwan Zahari yang memakai baju T berwarna hitam dan Ismanira Abdul Manaf berbaju merah yang kedua-duanya berusia 29 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Mengikut pertuduhan, pasangan suami isteri yang berusia 29 tahun itu, didakwa bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini, pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ku Hayati Ku Haron manakala pembelaan oleh peguam, Fahmi Abd Moin dan Mahmud Jumaat.

Kronologi kes Zayn Rayyan

Ibu bapa Zayn Rayyan jalani rawatan psikologi

Ibu bapa Zayn Rayyan didakwa abaikan anak

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 1:21pm
d