utama

Kes pembunuhan Zayn, Polis dah usaha sehabis baik

Oleh Safeek Affendy Razali

Kuala Lumpur: Pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menggunakan segala peruntukan undang-undang yang ada di bawah bidang kuasanya dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme Zayn Rayyan Abdul Matiin, enam tahun.

Sepanjang enam bulan siasatan dijalankan sejak Zayn dilaporkan hilang pada 5 Disember tahun lalu, JSJ turut menggerakkan semua aset dan logistik dimiliki Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes berkenaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setiap butiran terperinci dari sekecil-kecil fakta, keterangan dan bukti dianggap penting dalam menyelesaikan kes pembunuhan Zayn ini.

"Secara spesifiknya satu 'task force' (pasukan khas) dibentuk bagi mengumpul bukti sehinggalah siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh berdasarkan petunjuk dan bukti yang kita peroleh di lokasi kejadian dan bedah siasat.

"JSJ kemudian mengambil keputusan membuat tangkapan ke atas ibu dan bapa mangsa dan mendapat tahanan reman selama 13 hari untuk siasatan lanjut termasuk pengumpulan bukti dalam melengkapkan siasatan.

"Susulan hasil perbincangan mendalam bersama pihak Timbalan Pendakwa Raya (DPP), berdasarkan segala bukti dan keterangan yang ada ... maka pihak pendakwaan memutuskan pada masa ini akta yang paling sesuai digunakan adalah mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001, yang membawa hukuman denda RM50,000 atau penjara selama 20 tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan," katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, tadi.

Mohd Shuhaily berkata, pihaknya bagaimanapun akan menjalankan siasatan dengan lebih lanjut sekiranya ada arahan terbaru daripada pihak DPP.

Beliau berkata, sudah mengerahkan semua aset dan kekuatan sehinggalah ke proses pendakwaan dan segalanya selepas ini adalah terletak di bawah bidang kuasa pihak pendakwaan.

Mengulas mengenai dakwaan kononnya pihak polis menyekat komunikasi antara kedua ibu bapa Zayn dengan peguam ketika direman, Mohd Shuhaily memaklumkan bahawa pihaknya mempunyai hak dalam perkara itu.

"Pihak polis diberikan hak untuk menolak permohonan peguam untuk berjumpa pasangan berkenaan mengikut Seksyen 28A (8) Kanun Tatacara Jenayah.

"Bahagian 5 Kuasa Istimewa Penyiasat (Special Investigation Power), pada seksyen berkenaan telah memberikan kuasa kepada pihak polis untuk berbuat demikian semasa siasatan dijalankan.

"Pihak polis tidak mempunyai sebarang niat tidak baik semasa menguatkuasakan peruntukan berkenaan kerana fokus polis hanya untuk menjalankan siasatan sebaik mungkin dengan menggunakan semua peruntukan disediakan," katanya.

Disiarkan pada: June 13, 2024 @ 2:29pm
d