utama

Vandalisme ke atas restoran makanan segera gugat keharmonian & ketenteraman awam

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Sebanyak 14 laporan polis diterima dan 10 kertas siasatan dibuka membabitkan perbuatan vandalisme ke atas restoran makanan segera bagi tempoh 2023 hingga 5 Jun lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada jumlah itu, enam kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu khianat, dan dua kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.

Menurutnya ia membabitkan kenyataan yang disengajakan dengan niat membangkitkan pecah keamanan dan kenyataan yang mengaibkan.

"Satu kes dibuka mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan/Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil iaitu ugutan jenayah dan kenyataan yang mengaibkan serta satu kes mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan/Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia iaitu kenyataan mendatangkan khianat awam dan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan perkhidmatan rangkaian," katanya kepada Harian Metro.

Justeru katanya, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencabuli undang-undang termasuk perbuatan vandalisme.

RAZARUDIN. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, perbuatan itu satu tindakan jenayah dan menjadi kesalahan mengikut Kanun Keseksaan iaitu kesalahan khianat.

Katanya, vandalisme adalah perbuatan merosakkan atau memusnahkan kemudahan awam atau harta persendirian tanpa sebab yang sah di sisi undang-undang.

"Justeru, masyarakat perlu lebih berhemah dalam setiap tindakan yang dibuat dan jangan terbabit atau terikut-ikut dengan perbuatan yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.

Razarudin berkata, setakat ini ada satu tangkapan lelaki membabitkan dua kertas siasatan dan akan dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk arahan lanjut.

"Bagi kes-kes yang lain, ia masih dalam siasatan. Kami mohon kerjasama orang ramai atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.

"Pelaku terbabit dalam jenayah akan diheret ke muka pengadilan berdasarkan kesalahan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, jika kesalahan itu merujuk kepada perbuatan khianat ia jelas disiasat mengikut Seksyen 425 Kanun Keseksaan dan juga boleh dihukum mengikut Seksyen 426 atau pun 427 Akta sama.

"Sebaliknya, jika ia menjurus kepada kesalahan lain ia bergantung kepada fakta isu dilaporkan pihak terkesan atau terkilan," katanya.

ANTARA tindakan vandalisme yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab ke atas sebuah restoran makanan segera.

Rosak harta RM25 pun boleh dijel

Mana-mana pelaku yang disabitkan dengan kesalahan vandalisme boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 425 Kanun Keseksaan.

Pengarah Advokasi Khidmat Guam, Mahmud Jumaat berkata, bagi Seksyen 427 iaitu mendatangkan kerosakan kepada harta benda, pelaku yang menyebabkan kerosakan harta benda bernilai RM25 atau lebih boleh didenda dan atau dipenjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Katanya bagi Seksyen 425 iaitu mendatangkan kerosakan secara perbuatan nakal, mana-mana orang mendatangkan kerosakan secara sengaja atau dengan niat yang jahat boleh didakwa di bawah seksyen ini.

"Kesalahan merosakkan harta benda orang lain boleh dikenakan tindakan seperti mana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan - Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

"Kita juga ada Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) yang mana Seksyen 80 menetapkan hukuman kepada sesiapa yang sengaja merosakkan jalan, parit, atau bangunan milik awam. Pelaku boleh didenda atau dipenjara," katanya.

MAHMUD. FOTO Arkib NSTP

Mahmud berkata, penting untuk orang ramai mengetahui, apa saja perbuatan yang melampaui batas boleh dikenakan tindakan mengikut undang-undang sedia ada.

Menurutnya, semua pihak perlu memahami implikasi undang-undang dan sedar betapa tindakan boikot melampaui batas seperti vandalisme boleh membawa kepada hukuman yang berat.

"Dalam hal ini, ia berpunca daripada tindakan sesetengah pihak tidak menggunakan media sosial dengan bijak.

"Nasihat, saya elak sebar maklumat palsu kerana ini boleh menimbulkan kekacauan dan kegelisahan," katanya.

'Tunas' perlakuan lebih ekstrem

KEROSAKAN akibat vandalisme boleh mencetuskan kerisauan dan keresahan kepada pekerja serta masyarakat sekeliling.

Kuala Lumpur: Pakar keselamatan menyifatkan tindakan boikot sehingga mencetuskan vandalisme adalah 'tunas' kepada tindakan yang jauh lebih ekstrem yang mana paras keganasan mungkin sampai berani mengancam nyawa orang awam.

Penganalisis keselamatan, Prof Dr Mohd Mizan Mohd Aslam berkata, ia jelas satu tindakan keras yang radikal dan tidak mustahil individu berkenaan akan melakukan tindakan yang    jauh lebih berani daripada itu.

"Hari ini mungkin segelintir individu ini sudah mempunyai pemikiran radikal dengan melakukan jenayah vandalisme, untuk episod berikutnya tidak mustahil untuk mereka melakukan tindakan pada skala yang jauh lebih ekstrem.

"Kita tidak boleh nafikan yang mereka mungkin akan melakukan perbuatan anarki serta merosakkan harta benda kerana berani melakukan vandalisme adalah tanda mula perlakuan yang lebih dahsyat," katanya kepada Harian Metro.

Beliau yang juga Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Undang-Undang dan Keselamatan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, ini adalah contoh kepada perbuatan 'ghuluw' iaitu sesuatu tindakan yang melampau-lampau.

DR Mohd Mizan. FOTO Arkib NSTP

Beliau berkata, semua pihak boleh setuju dengan agenda boikot namun jika ia membabitkan kerosakan harta benda, ia sama sekali tidak boleh diterima.

"Saya melihat ada beberapa premis jenama dikaitkan dengan agenda boikot jadi mangsa vandalisme dengan pelbagai contengan kata-kata kesat.

"Ini satu perbuatan tidak boleh diterima, malah melangkaui batasan yang dihadkan dan ini juga boleh dikategorikan sebagai perbuatan ghuluw," katanya.

Menurutnya, jika golongan ini benar-benar memperjuangkan boikot, mereka seharusnya tidak bersetuju dengan perbuatan vandalisme ini kerana sudah membabitkan kemusnahan harta benda.

"Islam gariskan adab serta garis panduan dalam agenda memboikot supaya imej agama suci ini tidak tercemar dengan perbuatan yang tidak bertamadun seperti vandalisme ini," katanya.

Nilai moral rendah babit jenayah

Persepsi pelakuan vandalisme kemuncak kepada tindakan boikot adalah tidak tepat malah perbuatan itu mempunyai nilai moral rendah dan lebih buruk akan membabitkan jenayah.

Pakar Perunding Kanan Psikiatri Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari berkata, tiada justifikasi merosakkan harta benda seperti vandalisme atau melakukan perkara jenayah yang menimbulkan risiko terhadap orang ramai.

"Jelas tindakan ini melampaui batasan kemanusiaan yang akhirnya si pelaku akan menerima akibat daripada aspek perundangan.

"Secara asasnya, boikot adalah bantahan terhadap sesuatu keadaan dan ia memberi kesan ekonomi khususnya kepada pihak yang dipulaukan.

"Dalam proses itu, wujud persepsi mereka bertindak atas ketidakadilan yang berlaku," katanya kepada Harian Metro.

DR Muhammad Muhsin. FOTO Arkib NSTP

Muhammad Muhsin berkata, wujud juga kumpulan memboikot dipengaruhi individu yang cenderung kepada perlakuan ganas.

Beliau berkata, persepsi ketidakadilan boleh mendorong untuk seseorang melakukan tindakan ganas sehingga melampaui batas undang-undang seperti perbuatan vandalisme.

"Tindakan tidak mencerminkan agenda asal boikot apabila wujud pemboikot yang melakukan perbuatan di luar batas.

"Jika tindakan vandalisme ini diambil, mungkin sokongan terhadap boikot yang pada mulanya disokong orang ramai menjadi sebaliknya kerana ada elemen jenayah," katanya.

Pada masa sama, katanya, tindakan jenayah ini perlu ditentang dan tidak sewajarnya ada pihak menyokong perbuatan terbabit.

Menurutnya, tindakan boikot tidak seharusnya didorong oleh emosi, sebaliknya perlu berlandaskan fakta sebenar.

Usah sakiti sesama rakyat kita

Rakyat Malaysia diseru menyuarakan pandangan dengan cara bertanggungjawab tanpa tindakan vandalisme dan keganasan yang tidak akan membawa apa-apa manfaat.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, beberapa tindakan agresif terhadap pekerja dan pelanggan syarikat itu membimbangkan.

Katanya, bersatu untuk memperjuangkan nasib rakyat Palestin di Gaza adalah penting, tetapi ia tidak sewajarnya berlaku hingga menyakiti sesama rakyat Malaysia.

"Kita semua rakyat Malaysia, justeru, tingkah laku sebegini menyedihkan dan tidak positif. Keselamatan pekerja kami yang juga rakyat Malaysia adalah keutamaan terpenting untuk kami.

"Tindakan vandalisme ke atas premis restoran kami, antaranya papan tanda, semakin menjadi-jadi dan berleluasa. Ia mencetus keresahan kepada pekerja serta masyarakat sekeliling.

"Saya ingin zahirkan kebimbangan saya berhubung insiden baru-baru ini yang memberi kesan kepada perniagaan kami," katanya.

AZMIR Jaafar. FOTO Arkib NSTP

Menurutnya, pihaknya menghormati hak individu untuk menyuarakan pandangan, namun meminta orang ramai supaya tidak melakukan apa-apa tindakan yang merosakkan harta benda.

Katanya, sebagai orang Islam, tentunya beliau berasa pilu dan perit terhadap apa yang berlaku di Gaza.

"Saya bersolidariti bersama saudara-saudara kita di Gaza dan sentiasa mendoakan keamanan dan kesejahteraan mereka.

"Kita semua mempunyai tanggungjawab kemanusiaan untuk membantu mereka dalam kemampuan tersendiri," katanya.

Menurutnya, sebagai perniagaan yang dimiliki sepenuhnya orang Islam di Malaysia, komitmen McDonald's terhadap tujuan kemanusiaan tidak pernah berbelah bagi.

"Kami sentiasa suarakan sokongan untuk Palestin dan sudah menderma RM1 juta kepada Tabung Kemanusiaan Palestin.

"Selain itu, pekerja kami juga mengambil langkah proaktif dengan mengumpul dana lebih daripada RM100,000 membantu mereka yang terjejas di Palestin.

"Kami usaha dengan daya termampu dan saya menggalakkan semua orang untuk turut melakukan yang sama.

"Marilah kita bersama-sama berusaha untuk memperjuangkan Palestin ini dengan daya upaya termampu dan bertanggungjawab," katanya.

Disiarkan pada: June 14, 2024 @ 2:49pm
d