utama

20 peratus hati diderma

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Kuala Lumpur: "Terima kasih untuk yang mendoakan kami. Alhamdulillah kedua-dua pembedahan berjalan lancar dan 20 peratus hati saya didermakan kepada anak," kata Noor Shahieda Mohamad Ajamin.

Noor Shahieda, 33, mendermakan sebahagian hati kepada anak yang juga pesakit Biliary Atresia (BA) atau kegagalan fungsi hati, Ayra Sumayyah Mohamad Assahid berusia setahun.

Menurutnya, mereka menjalani pembedahan Hospital Renji, China, Rabu lalu dan kini dalam keadaan stabil.

"Pembedahan saya mengambil masa lima jam dan pembedahan pemindahan hati ke Ayra Sumayyah pula mengambil masa sembilan jam.

"Keadaan saya ketika ini stabil, berada di wad biasa dan sudah boleh berjalan dengan bantuan ke tandas. Ayra Sumayyah pula sekarang di wad unit rawatan rapi (ICU) dan keadaannya juga stabil cuma belum sedar.

"Saya difahamkan doktor akan buka (alatan) intubate (menidurkan pesakit dengan ubat tidur) hari ini dan Insya-Allah kemungkinan hari ini anak akan sedar, " katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, buat masa ini dia belum dapat melawat Ayra Sumayyah di ICU dan perkembangan mengenai anak akan dimaklumkan doktor setiap hari ini.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua penyumbang serta mereka yang mendoakan urusan kami di sini sepanjang tempoh ini.

"Tempoh penyembuhan dijangka akan mengambil masa dua minggu bergantung keadaan saya dan Ayra Sumayyah," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kisah Ayra Sumayyah yang menetap di Taman Areca, Bahau di Negeri Sembilan memerlukan bantuan untuk melakukan pemindahan hati yang didermakan ibunya, Noor Shahieda di China.

Bacaan kuning hati Ayra Sumayyah semakin tinggi menjadikan perutnya membesar, mata dan kulitnya juga semakin kuning selain kulit juga kering serta bayi itu memerlukan bantuan untuk berdiri atau duduk selain masih belum boleh berjalan dan merangkak.

Disiarkan pada: June 15, 2024 @ 7:05am
d