utama

Aliff Aziz dan Ruhainies hadir ke mahkamah syariah

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Pelakon kontroversi Aliff Aziz dan Ruhainies dilihat hadir selama tiga jam ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Sumber Harian Metro berkata, pasangan itu tiba di mahkamah jam 8.40 pagi dan dilihat beredar jam 11.50 pagi.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan tujuan kedatangan mereka ke mahkamah hari ini tetapi mungkin bersabit kes tangkapan khalwat pasangan itu oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sebuah kondominium mewah di ibu negara pada 9 Mac lalu. Sumber berkata, bon jaminan RM1,500 yang diberikan mahkamah kepada kedua-duanya dilanjutkan.

Menurutnya lagi, prosiding kes itu bakal berlangsung di Mahkamah Tinggi di sini pada 3 Julai ini.

Sementara itu, sumber rapat dengan Aliff Aziz berkata, tujuan kedatangan kedua-dua pelakon itu ke mahkamah hari ini bukan untuk pendakwaan tetapi berkaitan kes khalwat mereka.

"Pertuduhan dibacakan hakim syarie tetapi tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua mereka," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aliff memohon orang ramai mendoakan kes khalwat membabitkan dirinya dengan Ruhainies menemui jalan penyelesaian terbaik. 

Menurut Aliff, buat masa ini dia hanya menunggu tindakan selanjutnya selepas memberi sepenuh kerjasama kepada pihak Jawi.

Sebelum itu, Pengarah Jawi Datuk Mohd Ajib Ismail memaklumkan siasatan kes khalwat membabitkan Aliff dan Ruhainies selesai.

Mohd Ajib berkata kertas siasatan itu sudah dihantar kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan (Japens) untuk tindakan lanjut.

Disiarkan pada: June 20, 2024 @ 4:13pm
d