utama

Lelaki serah diri di balai polis selepas bunuh isteri

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Batu Gajah: Seorang lelaki menyerah diri di balai polis selepas membunuh isterinya di bilik sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, di sini hari ini.

Lelaki berusia 36 tahun itu datang ke kaunter aduan Balai Polis Batu Gajah kira-kira 2 petang tadi dan memaklumkan dia membunuh isterinya dalam bilik di hotel itu.

Difahamkan, lelaki itu membunuh isterinya menggunakan pisau dan punca pembunuhan dipercayai akibat keretakan rumah tangga yang menghampiri perceraian.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri ketika dihubungi mengesahkan suspek menyerah diri ke balai polis selepas melakukan jenayah itu.

"Ya, benar," katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Mohd Yusri memaklumkan kenyataan media berhubung kes itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Disiarkan pada: June 20, 2024 @ 7:53pm
d