utama

270 barang tercicir belum dituntut

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Selama sedekad, lebih 270 barangan peribadi yang ditinggalkan pemilik secara tidak sengaja di Masjid Bandar Seri Putra, Kajang, dekat sini, kekal misteri apabila masih tidak dituntut.

Bahkan sebahagian daripada barangan itu seperti jam tangan berjenama, telefon bimbit, dompet serta cermin mata nilainya mencecah ratusan malah ribuan ringgit.

Nazir masjid, Prof Emeritus Datuk Dr Ir Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berkata, inisiatif menyimpan barangan peribadi milik individu yang pernah singgah menunaikan solat di masjid itu dilakukan pihaknya sejak rumah ibadah itu beroperasi pada 2014.

"Setakat ini, dalam simpanan kita ada 250 jam tangan, 10 dompet, tujuh bentuk cincin, telefon bimbit dan kunci motosikal masing-masing dua serta satu gelang anting. Ada satu jam harganya ribuan ringgit.

"Paling banyak barangan ditemui di masjid itu pada musim cuti sama ada di bilik wuduk dan ruangan solat kemungkinan pemiliknya terlupa atau terjatuh dari poket semasa menunaikan solat.

"Hari biasa ada juga tetapi apabila jumpa saja, biasanya kita akan terus buat pengumuman," katanya kepada Harian Metro.

Selalunya, jika barangan perhiasan emas, kunci kereta atau telefon bimbit yang tertinggal, pemiliknya tidak mengambil masa lama untuk datang menuntut.

"Paling lambat pun seminggu. Mungkin untuk yang bertahun-tahun tidak tuntut ini, orang luar yang tidak menyedari kehilangan barangan peribadi mereka di sini.

"Ada kes individu dari Johor tertinggal barangan peribadinya ketika singgah menunaikan solat di masjid ini semasa perjalanannya bercuti ke Kedah.

"Nasibnya baik kerana cepat menyedari kehilangan barang sebelum berusaha menghubungi kami untuk mengambilnya semula semasa pulang ke Johor manakala yang lain datang tuntut kebanyakannya dari sekitar Lembah Klang," katanya.

Beliau berkata, atas faktor itu pihaknya memegang amanah terus menyimpan barangan peribadi ditinggalkan jemaah dengan harapan pemiliknya akan datang menuntut semula hak mereka suatu hari nanti.

"Kalau jam tangan, dompet, telefon bimbit dan cermin mata yang tidak dituntut, kita akan pamerkan dalam papan notis berkaca yang dikunci untuk beberapa tempoh manakala barangan kemas dan berharga kita simpan dalam pejabat.

"Macam cermin mata yang sudah bertahun-tahun tidak dituntut, kita letak di luar untuk kegunaan jemaah yang datang ke masjid itu," katanya.

Katanya, selain membuat pengumuman serta mempamerkan barangan itu di satu sudut masjid, pihaknya turut menguar-uarkan penemuan itu di Facebook (FB) dan TikTok.

"Apabila ada individu mahu tuntut, kami akan minta maklumat terperinci membuktikan dia pemilik sebenar terutama barangan berharga macam cincin emas bagi mengelak diberikan kepada bukan yang berhak.

"Pesan saya kepada sesiapa yang pernah singgah solat di masjid ini, kalau betul yakin ada tertinggal barang, hubungilah kami dengan segera kerana kami juga ada kekangan tempat untuk menyimpan.

"Kalau perlu pos, kami akan buat cuma tunjukkan bukti bagi memudahkan urusan tuntutan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 6:30am
d