utama

Tanah runtuh di kaki Gunung Kinabalu

Oleh Juwan Riduan

Ranau: Satu kejadian tanah runtuh di kaki Gunung Kinabalu di Mesilau, Kundasang dilaporkan berlaku pagi tadi.

Kejadian itu menyebabkan aliran air Sungai Mesilau yang mengalir ke Sungai Liwagu di Ranau menjadi berlumpur.

Ia hampir sama seperti kejadian banjir lumpur selepas gempa bumi berskala 5.9 skala Richter berpusat di Gunung Kinabalu pada Jun 2015.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima maklumat daripada rakaman video yang tular di media sosial pagi tadi.

Susulan itu katanya, sepasukan bomba digerakkan ke lokasi untuk menjalankan pemantauan.

"Pemantauan segera dijalankan berhampiran runtuhan bagi memastikan masyarakat di kawasan berhampiran selamat.

"Pemantauan turut dilakukan bersama dengan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kejadian runtuhan itu tidak membabitkan kerosakan harta benda.

"Bagaimanapun anggota masih menjalankan pemeriksaan berhampiran lokasi runtuhan," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2024 @ 12:44pm
d