utama

MOM kekal dengan pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tetap dengan pendirian mereka untuk tidak melakukan sebarang perubahan terhadap rekaan baju akan dipakai atlet dan pegawai pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu ditegaskan Ketua Kontinjen Negara (CDM) negara ke Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai maklum balas terhadap reaksi negatif orang ramai berhubung rekaan pakaian berkenaan.

Tegas Hamidin, apa yang penting ketika ini pemburuan emas di Olimpik lebih menjadi keutamaan berbanding rekaan pakaian rasmi kontinjen negara.

"Kita sudah setuju dengan Yonex (pengeluar pakaian rasmi) untuk tunjuk warna gold (emas) sebabnya kita pakai warna oren sudah lama sejak 2004 lagi, jadi ramai atlet sebelum ini minta MOM untuk tukar warna lain.

"Jadi MOM sudah sepakat dengan Yonex untuk tukar kepada warna emas kerana maknanya sasaran kita adalah emas. Kita ambil aura warna emas itu. Yonex turut berpendapat warna emas padan dengan warna hitam.

"Kalau warna cantik tapi tidak dapat emas atau pingat tidak guna juga. Keutamaan kita sekarang adalah emas," katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi latihan pemain perseorangan wanita profesional, Goh Jin Wei di sini, hari ini.

Terdahulu rata-rata peminat sukan di media sosial meluahkan rasa ketidakpuasan hati terhadap rekaan itu yang didakwa sedikit terbelakang dan tidak membangkitkan semangat berbanding pakaian rasmi digunakan kontinjen negara sebelum ini.

Malah netizen menyifatkan pakaian berkenaan tidak cantik dan mempersoalkan logo bendera Malaysia yang dikatakan tidak 'tepat'.

Namun ketika saingan Olimpik hanya berbaki 31 hari lagi, Hamidin berharap seharusnya semua pihak terus memberi sokongan kepada kontinjen negara dan tidak memperdebatkan isu itu.

"Pertamanya, saya tak nampaklah teruk sangat dengan baju ini semua, kalau kita tengok kena bersyukur.

"Tetapi selepas membaca semua komen semua netizen semalam saya menghubungi presiden OCM, Tan Sri Norza (Mohamad) dan beliau pada dasarnya bersetuju untuk temasya berikutnya kita buka kepada peminat untuk mereka baju.

"Kita buka rekaan kepada peminat untuk buat, kita akan pilih dan mungkin bagi sagu hati," katanya.

Dalam pada itu, beliau mengakui kesilapan menggunakan patung 'mannequin' bagi memperagakan pakaian rasmi kontinjen negara ke Paris 2024 berupa baju berkolar, baju T dan jaket yang diperkenalkan sempena sambutan Hari Olimpik di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, Ahad lalu.

Terdahulu Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menerusi ciapan di X menjelaskan pakaian rasmi terbaharu kontinjen negara yang dilancarkan itu adalah di luar bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Disiarkan pada: June 25, 2024 @ 8:34pm
d