utama

Pasangan tular kini timang cahaya mata ke-12

Oleh Redzuan Muharam

Kota Bharu: Pasangan suami isteri, Shamsuri Shafie dan Rosnaida Ismail yang tular sebelum ini kerana memiliki 11 zuriat selamat menimang cahaya mata ke-12, jam 3.43 petang kelmarin.

Shamsuri, 39, yang juga pengamal perubatan Islam berkata, dia dan isteri dikurniakan cahaya mata lelaki namun belum memberi nama kepada bayi mereka yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di sini.

Menurut Shamsuri, dia bersyukur kerana dikurniakan lagi rezeki untuk menimang cahaya mata dan lega kerana urusan isteri, Rosnaida, 38, sepanjang melahirkan bayi mereka dipermudahkan.

"Alhamdulillah, perasaan sangat teruja dan bersyukur kerana Allah SWT permudahkan urusan kehamilan isteri yang tidak alami alahan sehingga dia selamat bersalin.

"Sebenarnya, bukan hanya saya dan isteri malah anak lain pun teruja dapat adik baru.

"Sebagai suami, saya ucapkan terima kasih kepada isteri atas pengorbanannya melahirkan cahaya mata kami.

"Sukar nak mencari seorang isteri yang tabah, penyayang, tenang serta bertanggungjawab sepertinya malah dia adalah tulang belakang serta penguat semangat saya," katanya dihubungi Harian Metro.

Menurut Shamsuri, dia tidak menolak jika ada rezeki untuk menimang cahaya mata lagi pada masa akan datang.

"Jika ada rezeki, saya nak lagi kerana anak pun anugerah Allah SWT.

"Anak pun pembawa rezeki dan menjadi penguat hubungan serta pengikat kasih sayang dengan isteri sepanjang 19 tahun kami berumah tangga," katanya.

Terdahulu, Harian Metro pernah menyiarkan kisah kehidupan Shamsuri dan isterinya yang bahagia kerana dikurniakan 11 cahaya mata terdiri daripada enam lelaki serta lima perempuan.

Kisahnya mendapat perhatian selepas Shamsuri berkongsi video dan gambar dengan keluarganya itu di TikTok.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 7:05am
d