utama

Kerajaan teliti keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95

Oleh Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan kepada petrol RON95.

Ringkasan Berita
• Kerajaan sedang mempertimbangkan keperluan rasionalisasi subsidi petrol RON95
• Keutamaan sekarang adalah pelaksanaan subsidi diesel yang disasarkan
• Penjimatan akan disalurkan ke program yang memberi manfaat kepada rakyat, seperti kesihatan dan pendidikan
• Jika rasionalisasi subsidi RON95 dilaksanakan, bantuan akan diberikan kepada golongan yang terkesan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli bagaimanapun berkata, buat masa ini tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasarannya menjadi stabil.

"Ia sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan, antaranya untuk memperkukuh kemampanan fiskal negara serta mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi diesel.

"Sekiranya rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan terkesan akan diberikan bantuan sewajarnya," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS-Serian) adakah melaksanakan pengurangan subsidi petrol memberi impak positif kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, pelaksanaan pemberian subsidi diesel secara bersasar bermula 10 Jun turut dijangka dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun.

Dalam pada itu katanya, pelaksanaan inisiatif penyasaran subsidi turut membantu kerajaan memperkukuhkan kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada.

"Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program serta projek yang lebih memberi manfaat dan benar-benar diperlukan oleh rakyat.

"Ia seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial serta kemudahan awam termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan," katanya.

Disiarkan pada: June 26, 2024 @ 10:36am
d