Bola Sepak

Kelebihan satu gol bukan jaminan - Fandi 

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Kemenangan 3-2 ke atas  Harini Selangor FT bukan jaminan buat Sri Pahang FC apabila bertemu pada perlawanan kedua pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Darul Makmur, Ahad ini.

Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata, anak buahnya perlu tampil dengan corak permainan bertenaga dan tidak sesekali memberikan ruang kepada lawan untuk menghasilkan jaringan.

"Saya akui kelebihan satu gol yang dimiliki bukan jaminan kerana Harini Selangor sudah pasti mahu mencatat keputusan terbaik dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Sebagai pasukan yang berada di liga atas (Liga Super), kami perlu waspada kerana pasukan seperti Harini Selangor yang beraksi di Liga M3 akan berusaha untuk melakar kemenangan.

"Mereka akan mempamerkan prestasi terbaik seperti dipersembahkan pada perlawanan pertama apabila menyamakan kedudukan selepas ketinggalan 0-2.

"Kesilapan pemain yang memberi ruang dan berasa selesa menyebabkan Sri Pahang hanya memiliki kelebihan satu gol dan perlu tampil dengan prestasi terbaik di halaman sendiri nanti, " kata legenda bola sepak Singapura itu.

Fandi mengingatkan anak buahnya untuk  lebih berwaspada dan mengekang bekas penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha atau Mat Yo yang mampu memberikan ancaman.

Disiarkan pada: August 18, 2023 @ 6:32pm
d