Bola Sepak

Negeri Sembilan, JDT bertembung di suku akhir

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) berjaya mempamerkan kehebatan sebenar apabila menewaskan Kelantan United FC (KUFC), 4-2, dalam perlawanan kedua 16 pasukan Piala Malaysia, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kemenangan dicipta itu membolehkan skuad Hobin Jang Hobin melayakkan diri ke peringkat suku akhir trofi berprestij itu dengan agregat 5-2, dan akan bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terlebih dulu menewaskan Kelantan FC dengan agregat 15-1.

Pada pertembungan malam ini, Kelantan United terlebih dulu membuka tirai jaringan menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti Jose Elmer Porteria pada minit ketiga yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Mohammad Firdaus Irman Mohd Fadhil.

Jaringan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan melalui jaringan Casagrande yang menanduk kemas bola hantaran lintang sebelah kiri oleh Mohamad Zamri Ramli sekali gus menerjah jaring menewaskan penjaga gol Kelantan United, Mohd Shahril Sa'ari pada minit keenam.

Jaringan penyamaan itu membangkitkan semangat anak buah K Devan apabila mereka terus menggandakan asakan ke kawasan kubu pelawat untuk mendapatkan gol.

Usaha mereka itu membuahkan hasil apabila R Barathkumar menjaringkan gol kedua selepas menanduk masuk bola hantaran lintang dilakukan Mahali Jasuli pada minit ke-26.

Pemain Negeri Sembilan terus mempamerkan kehebatan apabila berjaya menjaringkan gol ketiga menerusi Hein Thet Aung selepas dia bijak memanfaatkan peluang kesilapan bahagian pertahanan pelawat, pada minit ke-33.

Bersambung pada kedua, pasukan pelawat dilihat berusaha memberikan tekanan dengan melakukan serangan bertali arus ke kawasan gol Negeri Sembilan dalam usaha mendapatkan jaringan.

Hasilnya, Kelantan United mendapat sepakan penalti selepas pemain pelawat dijatuhkan dalam kotak penalti dan pemain gantian Indra Putra Mahyuddin mudah menyepak kemas untuk gol kedua.

Negeri Sembilan menambah gol keempat menerusi sepakan penalti yang diambil pemain gantian Youssef Ezzejjari pada minit ke-86.

Disiarkan pada: August 20, 2023 @ 11:07pm
d