mutakhir

Itu hanya 'gelombang hijau', 4 negeri itu sajalah gelombangnya - Ahmad

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan gelombang rakyat yang digembar-gemburkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor kelak sebagai cakap kosong.

Ahmad berkata, pihaknya yakin pengundi di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram cukup bijak untuk membuat keputusan tepat bagi memilih wakil rakyat di kawasan itu.

"Itu bukan gelombang rakyat, macam mana pula itu dipanggil gelombang rakyat, ini kerana Malaysia ada 14 negeri dan mereka dapat (mentadbir) empat negeri sahaja, kita (Kerajaan Perpaduan) ada 10 (negeri). Takkan mereka tidak tahu matematik, 10 negeri jauh lebih banyak daripada empat (negeri).

"Itu hanyalah gelombang hijau yang tidak sampai ke mana dan empat negeri itu sajalah gelombangnya. Kita minta supaya pengundi di Johor ini tidak akan memasukkan mereka dalam Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (memenangi PRK)," katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Bukit Kempas, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Umno Pulai Datuk Ramli Bohani dan Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Pulai Suhaizan Kaiat.

Ahmad yakin pengundi di dua kawasan itu rasional dan tidak mahu kawasan mereka dikuasai pihak pembangkang.

"Perlu diketahui bahawa di peringkat Pusat sudah selesai dan kerajaannya adalah Kerajaan Perpaduan.

"Kalau lain yang dipilih di sini, sudah tentu akan menjadi pembangkang termasuklah di bawah Kerajaan Negeri ini," katanya.

Disiarkan pada: August 27, 2023 @ 7:05pm
d