mutakhir

Bot bawa 9 pelancong karam, seorang lemas

Oleh Abdul Rahemang Taiming

Semporna: Seorang pelancong warga asing ditemukan lemas apabila bot dinaiki bersama sekumpulan lapan rakan lain karam di kawasan perairan Pulau Timba-Timba dekat sini, semalam.

Dalam kejadian 10.10 pagi itu, bot membawa kesemua pelancong asing terbabit karam, namun punca sebenar kejadian belum dapat diketahui.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya bagaimanapun hanya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 4 petang.

Beliau berkata, mangsa yang meninggal dunia adalah seorang lelaki berusia 38 tahun, manakala lapan lagi berjaya diselamatkan.

"Berikutan itu, polis menahan empat lelaki iaitu seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun dan tiga warga asing berumur 26 hingga 40 tahun untuk membantu siasatan.

"Satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, sementara perintah tahanan reman akan dipohon di Mahkamah Majistret pagi ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya menerusi kenyataan media di sini, pagi ini.

Dalam pada itu, Mohd Farhan menasihatkan semua pengusaha pelancongan termasuk pemilik dan pengendali bot supaya mengutamakan aspek keselamatan seperti pemakaian jaket serta peralatan kecemasan yang lain.

"Sebarang maklumat berhubung kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat Inspektor Khadijah Mohd Seruji di talian 019-8718002 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2023 @ 10:49am
d