mutakhir

Lelaki maut rempuh lori parkir tepi jalan

Oleh Rosman Shamsudin

Tanjung Malim: Seorang lelaki maut manakala dua lagi penumpang cedera selepas kenderaan yang dinaiki melanggar bahagian belakang lori yang sedang parkir di tepi jalan dekat Kilometer (KM) 383.1 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara , pagi tadi.

Dalam kejadian terbabit, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton, Muhamad Azwan Roslan, 29, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang lelaki berumur 34 dan 29 tahun mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit kira-kira jam 4.50 pagi tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku ketika mangsa bersama dua penumpang dalam perjalanan dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh, Perak.

"Tiba di tempat kejadian, dipercayai kenderaan yang dipandu mangsa melanggar bahagian belakang lori yang sedang diparkir di tepi jalan.

"Akibat perlanggaran terbabit, pemandu kenderaan dan penumpang bahagian hadapan telah tersepit kemudian berjaya dikeluarkan bomba," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, penumpang hadapan, lelaki berumur 34 tahun patah tangan kiri manakala penumpang bahagian belakang lelaki berumur 29 tahun pula cedera bahagian kepala, patah tulang rusuk dan kaki kanan.

"Pemandu lori tidak mengalami kecederaan dan semua mangsa dihantar ke Hospital Slim River.

"Kemalangan terbabit disyaki berpunca pemandu kenderaan pacuan empat roda terlelap sebelum melanggar belakang lori terbabit," katanya.

Disiarkan pada: September 7, 2023 @ 10:41am
d