mutakhir

Insentif khas pemandu, penghantar e-hailing promosi TMM2024

Oleh Amir Mamat

Melaka: Kerajaan negeri bercadang memberi insentif khas kepada lebih 1,000 pemandu dan penghantar e-hailing yang bersetuju membantu mempromosikan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bentuk insentif itu akan diumumkan beliau pada pembentangan Belanjawan Melaka 2024 hujung bulan ini.

Katanya, langkah itu sebagai galakan kepada golongan terbabit untuk bersama-sama mempromosikan TMM2024 sejajar dengan peranan mereka sebagai duta pelancongan sambutan berkenaan.

"Mereka adalah satu daripada komponen dalam menjayakan TMM2024 kerana selain tugas hakiki sebagai penghantar makanan, mereka juga berperanan mempromosikan sambutan ini.

"Kerajaan negeri mungkin akan menyediakan insentif khas kepada mereka atas usaha itu dan ia akan diumumkan pada pembentangan Belanjawan Melaka hujung bulan ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan pelekat promosi TMM2024 kepada 250 penghantar dan pemandu e-hailing di Perkarangan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan, Banda Hilir, di sini, malam tadi.

Ab Rauf berkata, insentif berkenaan membuktikan pengiktirafan kerajaan negeri kepada peranan golongan pemandu dan penghantar e-hailng dalam sektor pelancongan dan pembangunan ekonomi.

Sementara itu, beliau berkata, persiapan menyambut TMM2024 ketika ini mencapai tahap 70 peratus menjelang hari pelancarannya di Sungai Melaka, 31 Disember depan.

"Kerajaan negeri sedang memuktamadkan cadangan untuk mengadakan lintas langsung upacara perasmian TMM2024 bersama agensi penyiaran di sebuah wilayah di China yang berkapasiti penduduk seramai 60 juta orang," katanya.

Disiarkan pada: October 30, 2023 @ 1:07pm
d