Sukan Lain

PDRM buka ruang buat pemain B-21

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan sepak takraw PDRM akan bekerjasama dengan skuad negeri dalam mengenal pasti pemain untuk disenaraikan pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Emas Khir Johari, awal tahun depan.

Pengurus pasukan PDRM, Deputi Superintendan Mohd Agus Mohd Ali berkata, jalinan kerjasama itu atas faktor Piala Emas Khir Johari mewajibkan penyenaraian pemain berusia bawah 21 tahun (B-21) dalam skuad yang bertanding.

"Syarat itu membolehkan pengurusan pasukan mengenal pasti pemain Sukan Malaysia (Sukma) negeri yang tidak mendapat tempat dalam pasukan mereka untuk dipilih menyertai PDRM.

"Pada masa sama, kami mengalu-alukan pemain B-21 yang berpotensi untuk menyertai skuad PDRM sebagai persiapan menyediakan pasukan terbaik," katanya.

Dalam pada itu, beliau gembira kerana PDRM muncul juara kategori beregu Kejohanan Sepaktakraw Piala Tun Ali 2023, yang berakhir Ahad lalu.

Mereka menewaskan kelab dari Thailand, Phitsanulok 2-1 dalam perlawanan akhir yang sengit.

"Alhamdulillah kerana buat kali pertama, PDRM bergelar juara kategori beregu Piala Tun Ali edisi 2023.

"Ia kemenangan yang sangat dicari untuk penutup kejohanan tahun ini dan sangat bermakna selepas kami muncul juara Divisyen Satu STL, baru-baru ini," katanya.

Disiarkan pada: November 22, 2023 @ 9:41pm
d