mutakhir

Penyokong bola gaduh: Polis kesan 2 lagi lelaki

Oleh Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

Serdang: Polis masih mengesan dua lelaki disyaki terbabit insiden pergaduhan dan merosakkan kenderaan pada perlawanan Liga Super antara Selangor FC (SFC) dan Perak FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, setakat ini 23 suspek berusia 16 hingga 44 tahun sudah ditahan manakala tujuh daripada mereka dituduh di Mahkamah hari ini.

"Beberapa daripada mereka sudah dituduh di mahkamah manakala dua lagi suspek yang dikehendaki masih lagi sedang dikesan," katanya selepas melancarkan program Refresh Session Go To Safety Point (GTSP) di stesen minyak Petronas Solaris Serdang, di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, 23 individu termasuk remaja ditahan polis selepas disyaki terbabit pergaduhan dan merosakkan kenderaan selepas perlawanan Liga Super antara Perak FC dan SFC di stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Siasatan mendapati kumpulan itu turut disyaki merosakkan empat kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir bersebelahan stadium.

Susulan itu, tujuh daripada suspek didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya kerana kesalahan merosakkan sebuah kereta di kawasan parkir semasa indisen itu.

Disiarkan pada: December 1, 2023 @ 6:19pm
d