mutakhir

2 pemilik syarikat ditahan guna dokumen perjanjian palsu

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dua pemilik syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menggunakan dokumen perjanjian yang mengandungi butir matan palsu bagi tujuan memperdayakan dan mendapatkan wang pelaburan bernilai kira-kira RM200,000.

Sumber berkata, suspek berusia 40-an menggunakan dokumen berkenaan bagi kerja pembekalan pasir sedangkan projek berkenaan tidak dilaksanakan.

"Suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita dipercayai ditahan kira-kira 3.30 petang tadi di pejabat SPRM Selangor ketika diminta hadir memberi keterangan.

"Kedua-dua suspek dipercayai secara bersama menggunakan dokumen yang mengandungi butiran palsu memperdayakan dua ahli perniagaan termasuk seorang berpangkat Datuk bagi projek pembekalan pasir pada tahun 2022," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

"Kedua-dua suspek akan dibawa untuk tujuan permohonan reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor esok," katanya.

Disiarkan pada: December 5, 2023 @ 6:21pm
d