Bola Sepak

KFA mahu KDA FC terus stabil- Sanusi

Oleh Izzali Ismail

Alor Setar : Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) mahu kelab Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang membawa nama negeri Kedah terus stabil dalam menyumbang kecemerlangan dan membina kejayaan yang disasarkan dalam saingan Liga Malaysia di masa depan.

Presiden KFA Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, walaupun KDA FC sudah diswastakan sepenuhnya pada musim ini, namun KFA sebagai sebuah badan tadbir bola sepak negeri Kedah tetap komited membantu KDA FC dalam pelbagai sokongan termasuk aspek bantuan kewangan.

"Dalam kita berbicara tentang perubahan dan perkembangan institusi bola sepak Kedah yang menjadi kewajipan kita selaku pelaksana, saya juga turut menekankan betapa impian saya untuk memastikan pasukan ini kekal cemerlang.

"Komitmen untuk membantu tetap diberikan dan untuk makluman, KFA masih dan terus memberi bantuan bagi tahun 2023 untuk kelangsungan perbelanjaan mereka.

"Umum mengetahui mengenai pemisahan antara KFA dan pasukan utama negeri dan saya juga berharap pihak tersebut (KDA FC) terus mendapat kestabilan dan berupaya beroperasi tanpa bantuan kewangan daripada KFA bagi tahun-tahun mendatang," katanya pada Kongres Tahunan KFA ke-48 semalam.

Sanusi juga berkata, KFA akan meneruskan pembangunan bola sepak melalui penganjuran liga tempatan bagi mencungkil lebih ramai bakat bukan hanya pemain muda, tetapi mereka yang terbabit dalam pembangunan bola sepak di Kedah.

KFA akan meneruskan penganjuran liga tempatan dan akan memastikan Liga KFA terus dilaksanakan kerana ia mampu menghidupkan seluruh komponen bola sepak meliputi pembangunan bakat, pendidikan kejurulatihan dan staf sokongan disamping peningkatan pengadil perlawanan.

Disiarkan pada: December 13, 2023 @ 1:09pm
d